
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meminta Meta Platforms Inc (Meta) memberi penjelasan atas tindakan syarikat teknologi itu menurunkan laporan berita di Facebook mengenai pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin tertinggi Hamas.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan menulis surat kepada Meta berhubung perkara itu.
Fahmi berkata beliau juga akan menghantar surat kepada Meta.
“Sebagai Menteri Komunikasi, saya kecam tindakan pihak Meta untuk menurunkan artikel ataupun 'posting' daripada media.
"Apatah lagi kerana ini pelaporan tentang lawatan rasmi Perdana Menteri ke Qatar dan pertemuan dgn sayap politik sebuah organisasi, bukan sayap militan ataupun sayap tentera,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau mengulas tindakan Meta menurunkan hantaran daripada Malaysiakini dan Sinar Harian, berhubung laporan mengenai pertemuan antara Anwar dan pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh atas alasan ia bertentangan dengan piawaian komuniti mengenai individu dan organisasi berbahaya.
Semalam, Anwar mengambil kesempatan bertemu Haniyeh yang juga Ketua Biro Politik Hamas ketika mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Qatar.
Dalam catatan di Facebook semalam, Perdana Menteri berkata, pertemuan tertutup antara beliau dan Haniyeh berlangsung selama lebih sejam dan turut disertai bekas pengerusi Hamas, Khaled Mashal. – The Vibes, 15 Mei, 2024


