Keselamatan remaja semakin menjadi keutamaan dalam era penggunaan platform digital. Menyedari kepentingan ini, Meta Malaysia baru-baru ini menganjurkan sesi meja bulat bersama media untuk membincangkan komitmen syarikat dalam melindungi remaja ketika berada di ruang siber.

Menurut Meta, perlindungan utama diberikan melalui pelaksanaan ciri Teen Accounts yang kini tersedia sepenuhnya di Malaysia untuk Facebook, Instagram dan Messenger.
Akaun remaja ditetapkan secara lalai kepada tahap keselamatan paling ketat dengan dua kategori umur iaitu 13–15 tahun yang memerlukan perlindungan tambahan manakala 16–17 tahun diberikan lebih banyak kebebasan kendiri.
Bagi pengguna bawah 16 tahun, sebarang perubahan tetapan privasi memerlukan kebenaran ibu bapa dan 97% daripada mereka mengekalkan tetapan asal. Hal ini sekali gus membuktikan keberkesanan langkah tersebut dalam mengurangkan risiko digital.
Pada masa yang sama, langkah ini turut selari dengan saranan kerajaan sebelum ini yang menetapkan bahawa kanak-kanak berusia bawah 16 tahun tidak dibenarkan membuka akaun media sosial peribadi sebaliknya hanya boleh menggunakan akaun yang dikendalikan oleh ibu bapa

Meta turut memperkenalkan langkah keselamatan tambahan bagi menyokong kebimbangan ibu bapa. Antaranya termasuk menetapkan akaun remaja sebagai akaun peribadi secara automatik, membenarkan mesej hanya daripada individu yang diikuti, serta menyekat mesej daripada orang asing. Penapis kata kasar dan simbol tidak sopan juga diaktifkan secara lalai, manakala peringatan masa skrin akan muncul selepas 60 minit penggunaan.

Selain itu, remaja dilindungi daripada mesej orang asing manakala aspek penting seperti hubungan, kandungan dan masa skrin diurus secara menyeluruh melalui ciri Teen Accounts. Ia menggabungkan pelbagai ciri keselamatan ke dalam satu pengalaman lalai sekali gus menjadikan penggunaan platform digital lebih selamat untuk remaja serta memberikan ketenangan fikiran kepada ibu bapa

Bukan itu sahaja, fungsi sleep mode turut diperkenalkan untuk menghentikan notifikasi antara jam 10 malam hingga 7 pagi. Dalam masa yang sama, remaja dilarang membuat siaran langsung. Meta juga menggunakan sistem kawalan kandungan automatik bagi mengesan mesej berunsur tidak senonoh, sekali gus menambah lapisan keselamatan.

Dalam aspek pengesahan umur, Meta menggunakan pendekatan berlapis yang merangkumi pengesahan umur semasa pendaftaran, laporan pengguna, semakan kandungan serta teknologi kecerdasan buatan (AI). Pilihan pengesahan turut termasuk penggunaan dokumen pengenalan atau kaedah lain yang sesuai.

Sementara itu, bagi aspek privasi dan iklan, Meta menjelaskan bahawa remaja bawah 18 tahun tidak boleh dijadikan sasaran iklan berdasarkan minat atau data peribadi mereka. Sebaliknya, iklan hanya boleh disasarkan mengikut umur dan lokasi umum. Kandungan yang dipaparkan pula berasaskan garis panduan penarafan umur sama seperti sistem kategori filem.

Untuk menyokong ibu bapa, Meta menyediakan Family Center yang menghimpunkan kawalan, panduan pendidikan dan maklumat penggunaan anak. Melalui pusat ini, ibu bapa boleh memantau serta meluluskan tetapan tertentu dengan lebih mudah, sekali gus menjadikan pengalaman digital remaja lebih selamat dan terkawal.

Meta menegaskan bahawa keselamatan remaja tidak boleh bergantung kepada larangan aplikasi semata-mata kerana langkah itu berisiko mendorong mereka beralih ke platform lain yang kurang selamat. Sebaliknya, pendekatan ekosistem menyeluruh bersama pengesahan umur di peringkat awal dianggap lebih berkesan. Antara cadangan yang diketengahkan ialah supaya pengesahan umur dibuat ketika telefon mula ditetapkan melalui Apple atau Google App Store, sekali gus mengurangkan beban ibu bapa.

Akhir sekali, Meta menekankan kepentingan bekerjasama dengan pengawal selia seperti MCMC bagi memastikan keselamatan remaja lebih menyeluruh. Mereka turut merujuk kepada contoh pelaksanaan pengesahan umur di Brazil dan beberapa negeri di Amerika Syarikat sebagai rujukan untuk memperkukuh usaha ini. Matlamat Meta adalah untuk membantu ibu bapa berasa lebih tenang dengan memastikan keselamatan remaja ditetapkan secara lalai, tanpa memerlukan campur tangan yang berlebihan.

Kesimpulannya, pendekatan Meta melalui Teen Accounts, sistem pengesahan umur berlapis, kawalan privasi dan iklan, serta sokongan tambahan melalui Family Center, menunjukkan usaha menyeluruh dalam melindungi remaja di ruang digital. Dengan ciri-ciri seperti Sleep Mode, larangan siaran langsung dan kawalan mesej, Meta menekankan perlindungan teknikal sambil mengekalkan keseimbangan antara keselamatan dan kebebasan remaja.


