Meta Lancarkan Pelan Langganan Instagram Plus, Facebook Plus, WhatsApp Plus dan Meta One

TechnologyDigital
28 May 2026 • 10:37 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Meta hari ini melancarkan pelan langganan berbayar Instagram Plus, Facebook Plus, dan WhatsApp Plus pada harga $2.99–$3.99 sebulan. Pelan baharu ini diumumkan oleh Ketua Produk Meta Naomi Gleit pagi ini beberapa hari selepas langganan WhatsApp Plus mula ditawarkan kepada pengguna di Malaysia pada harga RM 3.50 sebulan.

Gleit mengatakan pelan ini diberikan kepada semua pengguna global tetapi kami belum lagi dapat melihat penawaran Instagram Plus dan Facebook Plus di Malaysia semasa artikel ini ditulis. Ketiga-tiga pelan tidak menggantikan pelan Meta Verified yang kekal memberikan ciri pengesahan identiti pemegang akaun, perlindungan penyamaran dan sokongan tambahan.

Image from: Meta Lancarkan Pelan Langganan Instagram Plus, Facebook Plus, WhatsApp Plus dan Meta One

Pelan Instagram Plus dan Facebook Plus memberikan pelanggan akses kepada ciri-ciri seperti Super reactions, melihat berapa ramai orang yang telah menonton semula Story, mencipta senarai khalayak tanpa had untuk Stories, menonjolkan Stories sekali seminggu untuk tontonan tambahan, melanjutkan Stories melebihi 24 jam, melihat siapa yang menonton dan banyak lagi.

WhatsApp plus pula tema tambahan, nada dering khusus, lebih banyak chats boleh dipin, pelekat premium dan banyak lagi. Meta menyatakan lebih banyak ciri menarik akan ditambah dari semasa ke semasa.

Pelan Meta One juga turut sedang diuji dengan ia menyasarkan pengguna yang ingin mengakses ciri Meta AI secara lebih meluas. Pada peringkat awal pelan Meta One Plus ($7.99/sebulan) dan Meta One Premium ($19.99/sebulan) ditawarkan. Premium menawarkan kapasiti perkomputeran lebih tinggi, mod berfikir dengan lebih bauk , serta lebih banyak kemampuan penjanaan imej serta video. Pelan Meta One akan diuji di pasaran Singapura, Guatemala dan Bolivia terlebih dahulu.

Image from: Meta Lancarkan Pelan Langganan Instagram Plus, Facebook Plus, WhatsApp Plus dan Meta One

Pelan profesional untuk pencipta kandungan dan perniagaan Meta One Essential ($14.99/sebulan) dan Meta One Advanced ($49.99/sebulan) juga akan diuji di negara Arab Saudi, Maghribi, Thailand serta Bangladesh.

Dua pelan profesional ini memberikan ciri seperti lencana Verified, pelindungan penyamaran identiti, keutamaan dalam carian Facebook & Instagram, alat analitik lebih mendalam dan banyak lagi bagi pempengaruh yang ingin meningkatkan lagi jumlah pengikut.

Seperti sudah diramalkan, dengan kos menggunakan ciri AI serta halangan menggunakan data peribadi pengguna yang diperkenalkan, Meta kini perlu mencari cara baharu menjana pendapatan. Pelan langganan untuk mengakses ciri premium sudah ditawarkan OpenAI, Google, X dan Anthropic. Meta sekadar mengikut trend dimana perkhidmatan yang dahulunya percuma kini berbayar.