Meta Mengatakan Perancangan Malaysia Untuk Melesen Media Sosial Masih Kurang Jelas

TechnologyDigital
30 Oct 2024 • 4:15 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Meta, syarikat disebalik perkhidmatan media sosial Facebook, Instagram, dan WhatsApp, kini mengatakan perancangan Malaysia untuk memerlukan lesen media sosial masih kurang jelas dari segi garis panduan, dan lain-lain.

Sebelum ini, pada bulan Julai 2024 lepas, kerajaan telah mengumumkan bermula awal 2025 kelak, media sosial dan perkhidmatan permesejan yang mempunyai lebih 8 juta pengguna tempatan akan perlu mempunyai lesen khusus untuknya. Langkah pelesenan ini adalah sebahagian usaha dalam memastikan persekitaran yang sihat diwujudkan di arena media sosial, selain membuat platform sendiri bertanggungjawab dalam pelbagai kandungan yang dikongsikan melalui platform mereka, termasuk melibatkan kandungan penipuan, perjudian, dan lucah.

image is not available

Pada awalnya, Menteri Komunikasi mengatakan pengumuman ini diterima baik oleh pelbagai pihak. Namun, disebabkan sehingga kini masih tiada garis panduan jelas, membuatkan Meta mengkritik langkah kerajaan Malaysia. Mengikut pengumuman sebelum-sebelum ini, ia dikatakan panduan dan kod tatalaku akan dikongsikan pada penghujung Oktober ini, namun masih tiada maklumat berkaitan dengannya setakat ini.

Kelewatan pengenalan panduan dan kod tatalaku turut akan membawa kepada tempoh yang lebih lambat untuk memohon disebabkan perlu melalui pelbagai fasa, sekaligus mungkin menyukarkan syarikat-syarikat mendaftar sebelum tarikh pelaksanaan pada Januari 2025.

Melalui laporan Reuters juga, wakil Meta dipetik mengatakan mereka masih belum mengambil keputusan untuk memohon lesen atau sebaliknya, disebabkan masih kurang jelas berkenaan dengannya.