
Meta hari ini berkongsi perancangan mereka dalam membangunkan sehingga empat cip tersendiri, sekaligus mengoptimasikan lagi operasi dan kos melibatkan cip pemprosesan. Cip pemprosesan ini dilihat akan lebih memfokuskan kepada inferens, iaitu pemprosesan model AI dalam memberikan respon kepada pengguna.
Meta mengatakan cip ini adalah dibawah program Meta Training & Inference Accelerator (MTIA), dan cip terawal akan dikenali dengan nama MTIA 300. Keempat-empat cip ini akan diperkenalkan secara berperingkat, bermula tahun ini sehingga 2027 kelak. Cip versi baharu dijangka diperkenalkan setiap enam bulan sekali.
Meta turut menyatakan MTIA 400 direkabentuk untuk digunakan pada pusat data. Seperti ramai sedia maklum, dengan menguruskan Facebook, Instagram, Threads dan WhatsApp, Meta sentiasa memperkembangkan pusat data mereka, dan sering memerlukan kapasiti pemprosesan tambahan.
Ini tambahan lagi dengan integrasi kecerdasan buatan yang memerlukan pemprosesan dan inferens tambahan. Meta turut akan bekerjasama dengan Broadcom untuk beberapa elemen rekabentuk cip berkenaan, dan menggunakan TSMC untuk pengeluaran.
Selain pembangunan cip tersendiri, Meta juga turut telah mengumumkan kerjasama dengan pihak AMD dan NVIDIA sebelum ini. Perkembangan teknologi dengan pesat turut membuatkan ramai gergasi internet mula membangunkan penyelesaian tersendiri. Sebelum ini, Microsoft dan Google turut telah mengumumkan pembangunan cip mereka tersendiri untuk menguasakan pemprosesan dan operasi melibatkan pusat data serta kecerdasan buatan.



