ASUS baru-baru ini telah mengemaskini siri komputer desktop kecil mereka, iaitu ASUS NUC dengan penawaran model terbaru yang dikenali sebagai ASUS NUC 16 Pro Mini. Seperti yang sedia maklum, komputer NUC atau Next Unit of Computing adalah sebuah komputer desktop dengan saiz kotak kecil yang merumahkan cip pemprosesan terbaru daripada Intel.
ASUS NUC 16 Pro Mini dikuasakan dengan cip pemprosesan Intel Panther Lake terbaru dan untuk model ini, hadir dengan pilihan sehingga cip Intel Core Ultra X9 288H yang digabungkan bersama-sama dengan pilihan memori terbina LPDDR5x sehingga 96GB.

Dari segi penawaran palam, bahagian hadapan merumahkan palam USB 3.2 Type-C, dua palam USB 3.2 Type-A, manakala di bahagian belakang memperlihatkan dua palam Thunderbolt 4, dua palam USB 3.2 Type-A, dua palam LAN 2.5G dan dua palam HDMI 2.1.

Sistem penyejukan komputer ini juga telah dikemaskini dengan dua kipas penyejukan, tiga paip haba dan juga susunan sirip penyejukan untuk aliran haba yang optima yang memastikan komputer ini boleh beroperasi pada tahap terbaik. Penaiktarafan komponen juga mudah dilakukan dengan sistem Toolless Chassis 2.0 yang membolehkan pengguna menambah storan baru tanpa memerlukan pemutar skru.
Menggerakkan sistem operasi Microsoft Windows 11, komputer ini juga hadir dengan perisian ASUS AI Superbuild, membolehkan pengguna menggunakan model bahasaraya mereka sendiri tanpa memerlukan sambungan internet dan membolehkan model tersebut diajar dengan set data tersendiri. Cip pemprosesan Intel terbaru hadir dengan NPU dengan kuasa pemprosesan AI 50 TOPS yang juga membolehkannya digunakan sebagai komputer AI.
Dengan ukuran 144x122x41mm, ASUS NUC 16 Pro Mini adalah cukup padat untuk ditindan dan digunakan sebagai kluster AI kecil untuk syarikat-syarikat bersaiz kecil dan sederhana. ASUS Malaysia mengatakan bahawa komputer ini akan memasuki pasaran Malaysia pada bulan Mei ini, pada harga yang akan ditetapkan kelak.

