
CALIFORNIA: Syarikat gergasi teknologi, Meta Platforms menolak pertuduhan berhubung dakwaan sengaja mereka bentuk platform Facebook dan Instagram bagi mencetuskan ketagihan dalam kalangan kanak-kanak demi mengejar keuntungan.
Penafian itu dibuat pada hari pertama perbicaraan kes tuntutan mahkamah yang dikemukakan oleh gabungan dwipartisan 29 buah negeri di Amerika Syarikat (AS).
Kes yang berlangsung di Mahkamah Persekutuan Oakland, California ini disifatkan oleh pakar sebagai ujian undang-undang terbesar berhubung kesan media sosial terhadap pengguna muda.
Empat negeri peneraju iaitu California, Colorado, Kentucky dan New Jersey mendakwa Meta mereka bentuk fungsi platformnya untuk memikat pengguna muda sehingga mencetuskan masalah kecelaruan keresahan, kemurungan, dan kes bunuh diri selain mengelirukan orang awam mengenai tahap keselamatan platform mereka.
Lapor Reuters, kesemua 29 negeri turut menuduh Meta melanggar undang-undang persekutuan kerana mengumpul dan menggunakan data peribadi kanak-kanak secara tidak sah.
Saman ini menuntut penalti bernilai puluhan hingga ratusan bilion dolar serta desakan perubahan terhadap model perniagaan Meta.
Semasa pembukaan hujah, Timbalan Peguam Negara California, Megan O’Neill memberitahu lapan ahli juri bahawa model perniagaan Meta berteraskan strategi memikat pengguna, mengekalkan mereka seberapa lama yang boleh, mengutip data mereka dan menyembunyikan kebenaran daripada awam.
Peguam yang mewakili Meta, Paul Schmidt menyangkal dakwaan tersebut dan menegaskan kajian saintifik tidak menunjukkan perkaitan jelas antara penggunaan media sosial oleh remaja dengan penurunan tahap kesejahteraan mental mereka.
Beliau menambah Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg sentiasa komited untuk meningkatkan perkhidmatan platform tersebut dan bukannya menjadikannya berbahaya.
Selain Meta, beberapa syarikat media sosial lain termasuk Snap, pemilik Tiktok, ByteDance dan syarikat induk YouTube, Alphabet turut berdepan ribuan saman berasingan daripada pelbagai pihak atas dakwaan membahayakan kesihatan mental golongan muda.
The post Meta tolak dakwaan sengaja cetus ketagihan media sosial kanak-kanak appeared first on Utusan Malaysia.


