MetMalaysia Jangka Peralihan Monsun Bermula Khamis Ini

20 Mar 2023 • 8:16 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

MetMalaysia Jangka Peralihan Monsun Bermula Khamis Ini

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan fasa peralihan monsun akan berlaku bermula pada Khamis ini dan berterusan sehingga Mei depan.

Difahamkan ia menandakan Monsun Timur Laut yang bermula 7 November lalu yang menyebabkan berlakunya ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa singkat berakhir.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata semasa fasa peralihan monsun berlaku, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah.

“Tiupan itu datang dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata keadaan cuaca tersebut juga berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Oleh hal yang demikian, orang ramai juga dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini.

Dalam masa yang sama, orang ramai disaran peka dengan ramalan serta amaran cuaca dikeluarkan MetMalaysia.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” jelasnya.

Cuaca ekstrem landa New Zealand

Terdahulu, New Zealand dilapor dilanda keadaan cuaca ekstrem yang tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga menyebabkan ribuan orang hilang.

Menurut perdana menterinya, Chris Hipkins pantai utara telah dilanda Taufan Gabrielle pada 12 Februari lalu dan digelar sebagai bencana alam terbesar yang pernah dihadapi pulau itu dalam tempoh seabad.

Hal itu kerana taufan tersebut telah menyebabkan banjir besar, tanah runtuh dan gangguan bekalan elektrik yang dihadapi oleh penduduk pantai timur Pulau Utara.

Ia terutamanya melibatkan penduduk di Auckland yang dipercayai menerima kesan yang paling teruk.

Jumlah kematian akibat taufan dikatakan meningkat kepada 11 orang, walaupun Hipkins berjanji bahawa mangsa yang hilang kemungkinan akan ditemui dalam keadaan hidup.

Sumber: @metmalaysia via Twitter