MetMalaysia keluar amaran ribut petir, lekukan tropika tidak jejas Malaysia

LocalEnvironment
24 Nov 2025 • 12:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sabah hingga jam 1 tengah hari. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Isnin mengeluarkan amaran ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sabah hingga jam 1 tengah hari.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Pahang (Bera), Selangor (Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Jempol).

Di Sabah, cuaca buruk dijangka membabitkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.

Kenyataan itu turut memaklumkan mengenai pembentukan lekukan tropika yang dikesan pada 8 pagi di latitud 9.5 Utara dan longitud 128.2 Timur, kira-kira 219 kilometer (km) timur laut Gingoog City, Filipina.

Sistem itu bergerak ke arah barat pada kelajuan 10 km sejam (km/j) dengan kelajuan angin maksimum 56 km/j.

MetMalaysia memaklumkan lekukan tropika tidak memberi sebarang kesan signifikan kepada Malaysia, dengan jarak terdekat kira-kira 1,211 km dari Semporna, Sabah. - Bernama