Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited memperkukuh sinergi teknologi dan air selari dengan Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) melalui pemacuan inovasi dan teknologi berimpak tinggi, kecekapan operasi dan pembangunan sistem mampan demi kesejahteraan rakyat serta daya tahan negara.
Selari dengan inisiatif strategik memperkukuh keupayaan sektor air melalui perkongsian ilmu dan kepakaran bersesuaian dengan keperluan semasa, Mechanical and Electrical on Water Symposium (MEWS) 2026 menghimpunkan pakar-pakar dalam bidang kejuruteraan, golongan akademik serta pemain industri dalam teknologi hidromekanikal dan elektrikal sektor air negara.
Simposium yang berlangsung di The Everly Putrajaya hari ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air yang mewakili YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA.

Tema Memacu Transformasi Teknologi Air
Berteraskan tema “Current to Creation: The Evolution of Hydromechanics”, ia mencerminkan transformasi ke arah pendekatan yang lebih moden, pintar dan bersepadu. Teknologi hidromekanikal dan elektrikal seperti pam, pintu kawalan air serta instrumentasi hidrologi kini bukan sahaja berfungsi sebagai komponen fizikal, malah menjadi pemacu utama dalam membentuk sistem pengurusan air yang lebih cekap, responsif dan berdaya tahan.
Sektor air inovatif dalam penggantian kaedah operasi manual kepada ekosistem teknologi yang lebih automatik, berasaskan data serta berintegrasi secara digital. Pendekatan ini penting bagi meningkatkan kecekapan operasi dan seterusnya memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran serta risiko bencana air yang semakin kompleks.
Pemanfaatan Teknologi Pintar
Pengurusan sektor air negara terus diperkukuh melalui pemanfaatan teknologi seperti kecerdasan buatan (artificial intelligence), machine learning serta sistem pemantauan pintar yang membolehkan analisis data dilaksanakan secara masa nyata. Integrasi teknologi ini membolehkan data daripada pelbagai sensor seperti paras air, kadar alir dan prestasi peralatan dianalisis dengan lebih berkesan bagi menyokong keputusan operasi yang lebih pantas dan tepat.
Usaha ini turut memperkukuh kerjasama antara pelbagai pemegang taruh ke arah pembangunan penyelesaian yang inovatif, mampan dan berimpak tinggi dalam pengurusan sumber air negara.
Dalam mendepani cabaran perubahan iklim global, PETRA serta Jabatan Pengairandan Saliran Malaysia (JPS) terus memperkasa pelbagai inisiatif bagi memastikan kemampanan sektor air negara terutamanya dalam pemerkasaan teknologi dan inovasi terkini, sejajar dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan dan keprihatinan terhadap keperluan rakyat.




