**media[3605628]**
Pembangunan luar bandar yang mampan bukan sekadar bergantung kepada peruntukan, sebaliknya memerlukan penyelarasan yang berkesan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri supaya setiap dasar serta projek benar-benar memenuhi keperluan rakyat.
Atas dasar itu, Platform Mesyuarat Penyelarasan antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) terus memainkan peranan sebagai wadah utama dalam menyelaras agenda pembangunan luar bandar secara lebih tersusun, inklusif dan berimpak tinggi.
Komitmen tersebut diterjemahkan menerusi Mesyuarat MEXCLUB Kali Ke-61 Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pulau Pinang.
Platform ini menjadi medan utama bagi menyelaras pelaksanaan dasar, memperkukuh kerjasama antara Persekutuan dan negeri serta memastikan setiap keputusan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap demi kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Mesyuarat itu menghimpunkan Exco-Exco Luar Bandar dari seluruh negara bersama wakil kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap perancangan pembangunan desa diputuskan secara bersama, mengelakkan pertindihan pelaksanaan serta mempercepat penyampaian manfaat kepada rakyat.
Empat fokus tersebut menjadi keutamaan bagi memastikan pembangunan luar bandar terus dipacu secara lebih strategik, termasuk memperkukuh ekonomi desa, meningkatkan keberkesanan perancangan berasaskan data, memperluaskan pembangunan usahawan serta menilai impak program sedia ada agar setiap inisiatif kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
**media[3605627]**
Antara topik khusus yang turut dibincangkan merangkumi peranan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sebagai pemacu ekonomi, pembentangan Indeks Komposit Pembangunan Negara (IKPM) oleh Kementerian Ekonomi, amalan terbaik Kerajaan Pulau Pinang dalam pembangunan usahawan, serta dapatan Kajian Program Desa Lestari.
Dapatan kajian tersebut bakal menjadi input penting kepada KKDW dalam menyusun dasar yang lebih bersasar agar setiap program pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan dengan lebih tepat mengikut keperluan komuniti serta memberi impak yang lebih menyeluruh kepada rakyat.
Ahmad Zahid berkata, bagi menyokong usaha ini, penubuhan pasukan petugas itu dijangka memperkukuh daya saing koperasi luar bandar melalui penambahbaikan tadbir urus, peluasan akses pasaran dan jaringan strategik sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
Beliau menambah, pembangunan luar bandar tidak boleh diukur dari sudut fizikal semata-mata, sebaliknya perlu berasaskan kesejahteraan rohani dan keharmonian masyarakat.
"Pembinaan desa yang sebenar mesti berteraskan spiritual happiness dan bukannya sekadar mengejar physical happiness.
"Kementerian tidak mahu membandarkan desa sehingga hilang identiti dan nilai masyarakatnya sebaliknya berhasrat memodenkan desa melalui kemudahan, teknologi serta peluang ekonomi tanpa menghilangkan kekuatan budaya dan hubungan erat dalam komuniti," ujarnya.
Bagi mengaktifkan aset strategik luar bandar, beliau turut memohon kerjasama kerajaan negeri untuk mempercepatkan proses kelulusan, penyelarasan tanah dan pembangunan infrastruktur.
Keberkesanan penyelarasan pembangunan luar bandar menerusi platform seperti MEXCLUB turut dapat dilihat menerusi beberapa petunjuk positif yang menunjukkan impak pelaksanaan dasar dan program kerajaan terhadap kesejahteraan masyarakat.
**media[3605626]**
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berkongsi data positif mengenai penurunan kadar kemiskinan luar bandar daripada 12 peratus kepada 9.9 peratus.
"Corak migrasi terkini turut memperlihatkan daya tarikan kawasan desa apabila perpindahan penduduk dari luar bandar ke luar bandar mencatatkan 7.6 peratus dan dari bandar ke luar bandar sebanyak 7.2 peratus manakala migrasi dari luar bandar ke bandar mengecil kepada 0.6 peratus sahaja.
"Bagi menyokong perkembangan ini dengan kemudahan perkhidmatan berkualiti, KKDW bakal memperluaskan Tabika Tunas Istimewa menerusi penambahan 132 kelas baharu berbanding 19 kelas sedia ada membabitkan peruntukan sebanyak RM17.82 juta pada tahun depan," katanya lagi.
Tambahnya, kadar yuran pula kekal diselaraskan pada RM100 bagi memastikan perkhidmatan tersebut kekal mampu diakses, selaras dengan sasaran mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah Tabika Tunas Istimewa di setiap daerah menjelang tahun 2027.
Usaha yang diperkasakan menerusi MEXCLUB mencerminkan komitmen berterusan KKDW dalam memastikan setiap agenda pembangunan luar bandar dilaksanakan secara lebih terselaras antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Penyelarasan ini bukan sahaja mempercepat pelaksanaan dasar dan program pembangunan, malah memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh masyarakat luar bandar menerusi peningkatan peluang ekonomi, kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti.






