
MGB Berhad, anak syarikat LBS Bina Group Berhad mencatatkan pendapatan kukuh suku tahun pertama 2023 sebanyak RM177.76 juta dengan keuntungan selepas cukai RM12.24 juta berbanding RM6.81 juta pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan itu dijana daripada projek Residensi Bintang Bukit Jalil, Ritma Perdana dan Melodi Perdana di Alam Perdana yang dijangka siap dibina menjelang akhir tahun 2023 serta turut berjaya memuktamadkan akaun projek yang telah selesai dengan kontraktor utama sekali gus menyumbang kepada keputusan kewangan.
Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, segmen pembinaan dan perdagangan merupakan penyumbang terbesar kepada keuntungan MGB dengan RM168.64 juta manakala segmen keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi tempoh kewangan semasa adalah RM13.40 juta berbanding pada suku tahunan sebelumnya sebanyak RM10.91 juta.
“Walaupun berlaku kenaikan harga bahan mentah dan kekurangan tenaga buruh, MGB terus merekodkan laporan margin yang lebih baik serta memberangsangkan dengan pendapatan kira-kira RM14.26 juta pada suku tahun ini dengan mempunyai baki lima buah projek sedang berjalan.
“Peningkatan prestasi MGB turut disokong oleh segmen pembangunan hartanah dan pembinaan menerusi projek Idaman Melur, Cybersouth 1,448 unit serta perkembangan Laman Bayu Batu Pahat yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan dengan jumlah RM9.12 juta berbanding RM4.58 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, tahun 2023 merupakan prestasi kukuh bagi MGB sejak penubuhan syarikat menerusi 20 projek yang dijangka menjana pendapatan kira-kira RM4 bilion pada tahun akan datang, berdasarkan tempahan pembinaan tertunggak sebanyak RM1.78 bilion dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM2.36 bilion di bawah segmen pembangunan hartanah.
Tambahnya, tumpuan kepada pelaksanaan projek dan penyediaan unit kediaman dengan menjimatkan kos di samping mengekalkan kualiti produk adalah berikutan sambutan menggalakkan Rumah Idaman MBI dan dijangka berterusan untuk beberapa bulan akan datang.
“MGB turut menjangkakan peningkatan semula projek pembinaan bagi memperoleh lebih banyak projek pembangunan Rumah Idaman MBI melalui kerjasama dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Kami optimis berada pada kedudukan yang stabil dan mampu memberikan pulangan yang positif bagi baki tahun 2023. Walaupun berhadapan cabaran kenaikan kadar faedah, tetapi tidak memberi kesan ketara kepada prestasi kewangan dan yakin keupayaan mengurangkan sebarang kesan buruk serta terus konsisten memberikan pertumbuhan mampan pada tahun-tahun akan datang kepada pemegang saham,” katanya.

