UEM Sunrise dijangka naikkan keuntungan pada 2Q-3Q didorong pelancaran tiga projek baharu – RHB Investment
diyana
19/05/2023 - 16:48
KUALA LUMPUR 19 Mei - UEM Sunrise Berhad dijangka catat peningkatan keuntungan bersih pada suku kedua (2Q) dan suku ketiga (3Q) tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) selepas beberapa projek utama dilancarkan, kata RHB Investment
“Walaupun jualan hartanah kumpulan lemah pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) disebabkan tiada pelancaran projek baharu, pihak pengurusan mengekalkan sasaran jualan RM1.5 bilion bagi 2023,” katanya dalam nota hari ini.
Ini disebabkan kumpulan itu mempunyai tiga projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM2 bilion yang akan dilancarkan pada suku-suku mendatang
Firma penyelidikan itu berkata projek-projek tersebut akan menjadi pemacu jualan utama iaitu The Minh at Mont' Kiara (GDV:RM979 juta), The Connaught One (GDV: RM743 juta) dan KMP7 Kiara Bay (GDV: RM646 juta) yang disasarkan pelancaran masing-masing pada Mei, Jun dan 3QFY23.
Menurut firma itu, pengurusan kumpulan menyatakan bahawa The Minh dengan purata harga jualan (ASP) RM900 hingga 1,000 setiap kaki persegi mendapat sambutan menggalakkan, dengan 70% unit terjual dan 30% daripada ini telah ditukar kepada jualan kontrak.
Selain itu, UEM Sunrise akan memuktamadkan jualan tanah di Tapah dan Nusajaya Tech Park dengan nilai gabungam RM161 juta yang akan menaikkan pendapatan FY23 kumpulan.
“Kami mengekalkan pendapatan FY23-25 kerana keuntungan bersih UEM Sunrise akan meningkat selepas pelancaran beberapa projek utama dalam perancangan. Jualan tidak dibil turun sedikit kepada RM1.7 bilion, daripada RM1.8 bilion pada 4Q22,” tambahnya.
Mengulas berkenaan keputusan 1QFY23 kumpulan, firma itu berkata pendapatan meleset daripada jangkaan kerana ia tidak melancarkan sebarang projek baharu pada suku tersebut, manakala pengebilan kemajuan kekal perlahan, memandangkan kekurangan pekerja pembinaan.
“Sasaran jualan RM1.5 bilion pengurusan mungkin kelihatan tinggi pada pandangan kami, kerana jualan hartanah 1Q23 berjumlah hanya RM168 juta dan pelancaran akan datang perlu mempunyai sekurang-kurangnya 55 hingga 60% kadar jualan setiap satu untuk memenuhi sasaran,” jelasnya.
RHB Investment mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) 28 sen sesaham. -DagangNews.com

