MGB peroleh kontrak bina dua pangsapuri servis bernilai RM207 juta di Puchong
diyana
21/03/2024 - 17:28
KUALA LUMPUR 21 Mac - MGB Berhad telah mendapat kontrak pembinaan dua pangsapuri servis bernilai RM207.03 juta di Puchong, Selangor.
MGB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, anak syarikatnya, MGB Construction dan Engineering Sdn Bhd menerima surat anugerah tersebut daripada Anuar Aziz Architect bagi pihak Astana Modal Sdn Bhd, iaitu anak syarikat tidak langsung LBS Bina Group Berhad.
LBS Bina merupakan pemegang saham penting dalam MGB, manakala pengarah urusan kumpulan kedua-dua LBS Bina dan MGB ialah Datuk Wira Lim Hock Guan.
Menurut syarikat pembinaan itu, kontrak berkenaan melibatkan cadangan projek pembangunan itu melibat pembinaan dua blok pangsapuri servis menerusi dua fasa di D’Island Residence.
Sebelum ini, MGB juga pernah memperoleh kontrak pembinaan rumah teres bernilai RM46.8 juta di kawasan yang sama daripada Astana Modal.
Bagi fasa pertama, mereka akan membina pangsapuri 34 tingkat dengan 608 unit dan podium 7 tingkat, yang dijadualkan mengambil tempoh 27 bulan bermula pada 1 Jun 2024 sehingga 31 Ogos 2026.
Sementara itu, pembinaan pangsapuri fasa kedua merangkumi 29 tingkat dengan 391 unit dan podium enam tingkat, yang akan dibina dalam tempoh 24 bulan mulai 2 Februari 2025.
“Dengan kontrak terkini, buku pesanan tertunggak semasa kumpulan adalah kira-kira RM1.27 bilion.
“Kontrak tidak akan memberi kesan ke atas modal saham terbitan syarikat tetapi ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat dan kumpulan sepanjang tempoh kontrak,” katanya.
Saham MGB ditutup pada 79 sen hari ini, naik 2 sen atau 2.6% dengan permodalan pasarannya bernilai RM467.4 juta. - DagangNews.com


