MGS 2025 platform pacu industri fesyen tempatan

10 Nov 2025 • 5:27 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PENAMPANG: My Gaya Sabah (MGS) 2025 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyaksikan sebanyak 10 jenama pereka tempatan diketengahkan di program tersebut.

Daripada jumlah itu enam pereka adalah dari Sabah yang turut mempamerkan busana khazanah budaya dan identiti tempatan di program yang disempurnakan Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah Toh Puan Faridah Tussin.

Penganjuran MGS 2025 sempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang diadakan di International Technology Commercial Centre (ITCC) itu turut dihadiri Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan berkata MGS 2025 adalah kerjasama pihaknya dengan Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (PPBM) bagi memastikan industri fesyen di negara ini khususnya produk tempatan terus berkembang.

Katanya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) meletakkan anggaran potensi industri tekstil dan pakaian sekitar USD3.5 bilion setahun dan akan terus berkembang kepada USD4.47 bilion menjelang tahun 2030.

“Dalam konteks Sabah yang terkenal dengan kepesatan sektor pelancongan industri fesyen tempatan dilihat amat berpotensi untuk difokuskan menjadi salah satu tarikan pelancong lokal dan antarabangsa.

“Komitmen KPDN adalah memastikan potensi ini dapat dicapai melalui kerjasama dengan pelbagai pihak sekali gus berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya,” katanya pada sidang media pada Sabtu.

Dalam pada itu Armizan berkata MGS 2025 menjadi platform penting untuk mengetengahkan hasil kreativiti para pereka Sabah sekali gus memperkukuh ekosistem industri fesyen tempatan ke tahap lebih berdaya saing.

Menurutnya program sama juga menyediakan peluang kepada pereka tempatan di Sabah membina rangkaian dengan pereka dari Semenanjung yang turut mengambil bahagian, sekaligus memperluaskan lagi pasaran produk fesyen merentas wilayah,” katanya.