MGTC bangunkan kerangka strategi infrastruktur pengecasan EV: MITI

20 Feb 2023 • 1:11 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sedang membangunkan satu kerangka strategi bagi pembangunan dan perancangan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) secara menyeluruh di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lim Ban Hong berkata kerajaan juga dalam proses meneliti prosedur sedia ada bagi kelulusan pemasangan sistem pengecasan EV (EVCS) untuk mengurangkan tempoh pemprosesan kelulusan pemasangan terbabit.

“(Selain itu) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Jabatan Standard Malaysia sedang berkerjasama dalam memastikan teknologi EV yang digunapakai serta dibangunkan di negara ini adalah lebih seragam, selamat serta berkualiti.

“Dalam usaha menggalakkan penggunaan EV serta penambahan tempat pengecasan di seluruh Malaysia, beberapa keputusan dasar telah ditetapkan atau dilaksanakan termasuklah menawarkan insentif cukai yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2022,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH- Tebrau) mengenai dasar MITI dalam menggalakkan penggunaan EV serta penambahan lokasi pengecas EV di seluruh negara.

Setakat akhir 2022 terdapat sejumlah 902 unit pengecasan di seluruh negara manakala kenderaan EV sedia ada termasuk kenderaan hibrid adalah 21,659 unit, kata beliau.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata insentif kerajaan dalam Belanjawan 2022 meliputi pengecualian penuh duti import, duti eksais dan cukai jalan EV yang dipasang secara tempatan atau diimport yang siap dipasang.

Ini turut merangkumi pengecualian penuh cukai jualan bagi EV dipasang secara tempatan dan pelepasan cukai pendapatan individu untuk langganan kemudahan atau pemasangan sistem pengecasan EV.

“Insentif tambahan juga telah dicadangkan untuk Belanjawan 2023 selain cadangan meningkatkan jumlah kenderaan elektrik termasuk hibrid sebagai kenderaan rasmi jabatan dan jawatan yang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Kenderaan pengangkutan awam darat juga akan terus digalakkan untuk tujuan beralih kepada kenderaan yang elektrik, katanya.

Lim berkata impak daripada inisiatif-inisiatif ini dapat dilihat menerusi peningkatan permintaan ketara terhadap EV, termasuk permintaan (kategori kenderaan bateri elektrik sepenuhnya) yang melonjak lebih 3,400 unit pada 2022 berbanding 300 unit secara purata setahun pada tahun-tahun sebelumnya.

Beliau juga optmis pelaksanaan inisiatif sedia ada dan baharu dapat meningkatkan penggunaan dan permintaan EV serta menarik pelabur bagi tujuan penambahan lokasi pengecasan di serata negara.

“Ini bagi merealisasikan sasaran Malaysia untuk mencapai status sebagai negara neutral karbon menjelang tahun 2050 seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya. -Bernama