MHB catat hasil RM521.9 juta, untung sebelum cukai RM14.7 juta

Business & Finance
25 May 2026 • 10:17 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MHB catat hasil RM521.9 juta, untung sebelum cukai RM14.7 juta
MHB catat hasil sebanyak RM521.9 juta dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM14.7 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026.

MALAYSIA Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) merekodkan hasil sebanyak RM521.9 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM14.7 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026.

Segmen Kejuruteraan Berat merekodkan hasil sebanyak RM423.2 juta pada suku semasa, meningkat RM103.0 juta berbanding RM320.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Peningkatan disumbangkan projek sedang berjalan yang memasuki fasa pembinaan lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi oleh hasil lebih rendah daripada projek selepas sail-away.

Selari dengan pengiktirafan hasil lebih tinggi sepanjang suku tersebut, segmen itu turut mencatat keuntungan operasi sebanyak RM10.3 juta, meningkat RM8.1 juta daripada RM2.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Mohd Nazir Mohd Nor berkata, prospek semasa terus dipengaruhi ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat sekali gus menyebabkan ketidaktentuan perdagangan dan ekonomi.

“Keadaan ini dijangka terus memacu harga tenaga, mengganggu rantaian bekalan serta menjejaskan sentimen pelaburan global merentasi sektor tenaga dan marin.

“Walau bagaimanapun peningkatan permintaan terhadap penukaran offshore floater dan pembaikan kapal LNG dijangka mewujudkan peluang kepada MHB,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Tambah beliau, dalam keadaan ini, segmen Kejuruteraan Berat akan terus memberi tumpuan kepada kecemerlangan penyampaian projek, memastikan pelaksanaan yang selamat dan tepat pada masanya.

“Kami akan mengambil pendekatan strategik dan selektif merentasi sektor tenaga konvensional dan tenaga baharu muncul, di peringkat domestik dan antarabangsa bagi mengekalkan portfolio yang seimbang,” katanya.

Dalam pada itu, segmen Marin dilapor merekodkan hasil sebanyak RM98.7 juta pada suku semasa, RM34.2 juta lebih rendah berbanding RM132.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Ini disebabkan oleh hasil lebih rendah daripada projek penukaran, memandangkan suku yang sama tahun sebelumnya mendapat manfaat daripada pengiktirafan hasil pada peringkat lanjutan sebuah projek penukaran utama.

Sebaliknya, suku semasa masih belum mengiktiraf hasil daripada projek-projek penukaran yang baru diperoleh.

Segmen Marin turut dijangka terus menyumbang secara stabil kepada MHB dengan memanfaatkan kepakaran dalam pembaikan LNG dan penukaran floater serta kedudukan pasaran yang kukuh untuk mengekalkan prestasi stabil.

“Permintaan berterusan terhadap kerja pembaikan, penyelenggaraan dan penukaran dijangka menyokong prestasi segmen ini,” kata Mohd Nazir.

Pada masa sama, usaha pemodenan limbungan yang sedang dijalankan akan terus meningkatkan keupayaan operasi serta membolehkan penyampaian penyelesaian yang lebih kompetitif kepada pelanggan sekali gus menyokong pertumbuhan jangka panjang yang lebih mampan.