
BUSAN: Pelakon kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh, diumumkan sebagai penerima anugerah Tokoh Perfileman Asia atau Asian Filmmaker of the Year sempena Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) ke-31.
Yeoh akan menerima pengiktirafan itu pada majlis pembukaan festival yang berlangsung pada 6 Oktober di Busan Cinema Center, Korea Selatan.
Anugerah tahunan tersebut diberikan kepada tokoh atau organisasi perfileman Asia yang menunjukkan sumbangan luar biasa dalam memajukan industri perfileman di rantau ini.
Pengiktirafan terbaharu itu menambah senarai pencapaian cemerlang Yeoh yang sebelum ini mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama memenangi Anugerah Akademi (Oscar) bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi Everything Everywhere All at Once (2022).
Yeoh juga baru-baru ini menjadi wanita Asia pertama menerima Honorary Golden Bear di Festival Filem Antarabangsa Berlin (Berlinale).
Yeoh kembali ke BIFF buat kali pertama sejak menghadiri festival itu pada 2011 bersama filem The Lady. Kali ini beliau tampil dengan filem terbaharu, It’s My Time, arahan Bai Xue, yang juga merupakan filem berbahasa Mandarin pertamanya dalam tempoh hampir sedekad.
Sempena penghormatan tersebut, Yeoh turut memilih tiga karya untuk dipertontonkan dalam program khas festival iaitu Reign of Assassins, Everything Everywhere All at Once dan filem pendek arahan Sean Baker, Sandirawa.
Pelakon itu pertama kali menghadiri festival berkenaan pada 2002 menerusi Pusan Promotion Plan, yang kini dikenali sebagai Asian Project Market. Sejak itu, beberapa filem lakonannya pernah ditayangkan di BIFF termasuk Far North (2007) dan Master Z: The Ip Man Legacy, yang menjadi filem penutup BIFF edisi ke-23 pada 2018.
Kerjaya seni Yeoh mula berkembang pesat di Hong Kong apabila Yeoh mencipta nama sebagai bintang filem aksi pada era 1980-an dan 1990-an menerusi karya seperti Police Story 3: Supercop yang turut dibintangi Jackie Chan. Beliau kemudian melebarkan sayap ke Hollywood menerusi filem James Bond, Tomorrow Never Dies (1997).
Antara karya lain yang pernah dibintanginya termasuk Crazy Rich Asians (2018), A Haunting in Venice (2023), siri televisyen Star Trek: Discovery (2017–2020), selain bakal muncul dalam filem keempat dan kelima francais Avatar arahan James Cameron.
Penganjur BIFF menyifatkan Yeoh sebagai seorang pelakon yang versatil, berkarisma dan memiliki semangat luar biasa, selain menggelarnya sebagai ikon sinema Asia yang tiada tandingan.
Menurut mereka, Yeoh berjaya mentakrifkan semula imej heroin aksi sambil cemerlang menggalas pelbagai genre termasuk filem komersial, sinema seni dan muzikal.
“Watak-watak yang dibawakan beliau terus menjadi inspirasi kepada generasi baharu pelakon dan pembikin filem. Persembahan lakonannya yang konsisten, penuh nuansa dan melangkaui batas usia serta konvensyen membuktikan bagaimana seorang pelakon mampu memperluaskan horizon imaginasi dunia sinema,” kata penganjur dalam satu kenyataan.
Festival Filem Antarabangsa Busan 2026 dijadual berlangsung dari 6 hingga 15 Oktober. -UTUSAN
The post Michelle Yeoh bakal dinobat Tokoh Perfileman Asia BIFF 2026 appeared first on Utusan Malaysia.


