Era konsol gaming mudah alih dimulakan oleh Valve dengan Steam Deck hampir tiga tahun lalu. Konsol dengan SteamOS ini menarik perhatian orang ramai yang mendambakan permainan PC pada sebuah peranti yang boleh dibawa kemana-mana sahaja. Kemudian pesaing seperti Lenovo Legion Go, ASUS ROG Ally X dan MSI Claw dilancarkan sebagai pesaing tetapi dengan sistem operasi Windows 11.

Tetapi pengalaman menggunakan Windows 11 pada konsol-konsol ini tidak memuaskan kerana sistem operasi tidak direka untuk menggunakannya. Oleh yang demikian Jason Ronald selaku Naib Pengerusi Generasi Seterusnya untuk Microsoft berkongsi perancangan syarikat menggabungkan pengalaman penggunaan Xbox dan Windows untuk menghasilkan sistem operasi konsol mudah alih terbaik di pasaran.

Sistem ini bukannya untuk konsol mudah alih Xbox sebaliknya adalah untuk digunakan pada konsol gaming mudah alih Windows sekarang. Konsol mudah alih Xbox masih di peringkat awal pembangunan buat masa ini. Pengalaman Microsoft membangunkan Xbox sejak 20 tahun lalu akan digunakan untuk menghasilkan sistem operasi Windows yang lebih mudah dikawal menggunakan alat kawalan permainan.
Tidak pasti jika apa yang Microsoft maksudkan ini adalah sistem operasi baharu, pelancar Xbox untuk Windows atau gedung aplikasi permainan video yang sudah wujud tetapi belum dilancarkan lagi.
