Microsoft lancar rantau awan pertama Malaysia, bakal jana RM51.6 bilion dan 37,000 peluang pekerjaan menjelang 2028

28/05/2025 - 14:59
Naib Presiden Eksekutif Awan dan AI Microsoft, Scott Guthrie, mengumumkan pelaksanaan Malaysia West, rantau awan Microsoft pertama di negara ini di acara AI Tour Microsoft Kuala Lumpur pada 28 Mei, 2025 di Kuala Lumpur, Malaysia. Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 28 Mei – Microsoft melancarkan rantau awan pertama di Malaysia, dikenali sebagai Malaysia West, yang dijangka menjana hasil baharu sehingga AS$10.9 bilion (RM51.6 bilion) dan mewujudkan 37,000 peluang pekerjaan menjelang 2028.
Ia termasuk 6,000 dalam sektor teknologi maklumat (IT), menerusi infrastruktur berskala besar yang menyokong kecerdasan buatan (AI).
Menteri Digital Malaysia, Gobind Singh Deo berkata, rantau baharu ini memberi peluang Malaysia untuk naik dalam rantaian nilai teknologi global melalui AI dan digital, sekali gus menujukkan peranan negara sebagai peneraju ekonomi digital serantau.
"Kerajaan telah menyediakan landasan kukuh yang dipercayai untuk perniagaan berkembang sejajar dengan Prinsip Awan Dipercayai," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si berkata, pelancaran Malaysia West membuka ruang kepada pelanggan sektor awam dan swasta untuk beroperasi secara lebih pantas dan inovatif.

"Selain membina prasarana digital, kami juga memberi tumpuan kepada pembangunan bakat menerusi AIForMYFuture bagi menyokong aspirasi Malaysia sebagai peneraju digital serantau," katanya.
Ia turut disokong penempatan data dalam negara serta perkhidmatan termaju seperti Microsoft Azure dan Microsoft 365, selain aplikasi perniagaan Microsoft yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Antara yang telah menyertai ialah FinHero, SCICOM Berhad, Senang, SIRIM Berhad, TNG Digital dan Veeam. Jumlah itu dijangka bertambah susulan peningkatan permintaan bagi perkhidmatan awan dalam negara merentas industri.
Naib Presiden Eksekutif Awan dan AI Microsoft, Scott Guthrie berkata, Malaysia West menyediakan prasarana bertaraf dunia untuk memacu inovasi AI secara mampan dan terangkum.
"Kami ingin membantu organisasi tempatan mempercepat inovasi dan membina masa depan berasaskan AI yang selamat dan berdaya tahan," ujarnya.
Syarikat itu turut melancarkan inisiatif BINA AI Malaysia bagi memperkukuh pembangunan AI tempatan.
Inisiatif itu merangkumi penubuhan Pusat Inovasi AI Negara Microsoft bersama rakan strategik seperti EY Malaysia, Pejabat AI Kebangsaan Malaysia (NAIO), dan Pusat Kepimpinan Petronas.
Langkah itu susulan komitmen pelaburan AS$2.2 bilion (RM10.4 bilion) yang diumumkan 2024 untuk memperkukuh infrastruktur awan dan AI Malaysia.
Microsoft turut mengumumkan perkembangan inisiatif AIForMYFuture yang menyasarkan latihan kepada 800,000 rakyat Malaysia menjelang akhir tahun ini.
Inisiatif AIForMYFuture turut melibatkan kerjasama dengan Biji-biji Initiative, Persekutuan Wanita Antarabangsa bagi Perdagangan dan Industri Malaysia (IWFCIM), iTrain, Peoplelogy, Pepper Labs, Urusetia Majlis TVET Negara (MTVET) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).- DagangNews.com
standard



