Microsoft hari ini telah mengadakan acara Microsoft AI Tour untuk memperlihatkan pembangunan teknologi AI tempatan, dan untuk membuat beberapa pengumuman mengenai projek yang telahpun diumumkan oleh mereka tidak lama dahulu.
Pertama ialah pusat data dan rantau awan (cloud region) Malaysia West yang kini diumumkan sudahpun bersedia untuk beroperasi, merumahkan mesin-mesin pelayan Microsoft Azure yang kelak akan dimanfaatkan oleh Microsoft sendiri untuk perkhidmatan seperti mesin pelayan dan juga perkhidmatan lain seperti Microsoft Azure, Microsoft Teams, Microsoft 365 dan sebagainya.

Rantau Awan Malaysia West tertletak di Kuala Lumpur Raya, dan bakal menjadi infrastruktur awan hiperskala sedia untuk AI dengan tiga zon ketersediaan. Ia juga membolehkan organisasi Malaysia memanfaatkan capaian kepada perkhidmatan awan yang boleh diskala, tersedia dan berdaya tahan, disokong oleh kemudahan penempatan data di dalam negara, tahap keselamatan tinggi dan kadar kependaman yang lebih rendah.

Beberapa organisasi, perusahaan dan syarikat pemula sudah pun memanfaatkan rantau awan Malaysia West. Ia termasuklah Petronas, FinHero, SCICOM Berhad, Senang, SIRIM Berhad, TNG Digital (pengendali TNG eWallet) dan Veeam. Selain daripada itu, syarikat-syarikat tempatan juga boleh memanfaatkan rantau awan Malaysia West ini sebagai cara untuk mengikuti undang-undang PDPR dan memastikan bahawa data syarikat dan pelanggan disimpan secara tempatan, dan tidak di luar negara.

Rantau awan Malaysia West juga dilihat akan memberi impak positif kepada ekonomi tempatan. Dalam tempoh empat tahun akan datang, Microsoft, rakan kerjasama dan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan awan dijangka akan menjana hasil baharu bernilai US$10.9 bilion (~RM45 bilion), dengan rantau awan baharu mewakili kira-kira 16.9 peratus daripada jumlah hasil baharu yang dijana sehingga 2028.
Ia juga dijangka bahawa dalam tempoh yang sama, sebanyak 37 ribu pekerjaan akan dijana secara langsung dan tidak langsung, dimana 6000 daripada pekerjaan tersebut adalah dalam sektor IT.



