hamden08/09/2026 - 13:22 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Sept - Censof Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Century Software (Malaysia) Sdn Bhd, dilantik Microsoft Malaysia sebagai Scale Solution Provider (SSP) bagi sektor awam Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Censof berkata, pelantikan itu meletakkan Century Software sebagai saluran dilantik untuk menawarkan rangkaian penuh penyelesaian awan, produktiviti dan keselamatan Microsoft, termasuk Microsoft Azure, Microsoft 365 dan Microsoft Copilot, kepada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di seluruh negara.
Pelantikan berkenaan turut memperluas peranan Century Software daripada penyedia khusus sistem pengurusan kewangan kepada rakan saluran awan dan kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh untuk Microsoft.
Langkah itu dijangka meluaskan pasaran boleh capai kumpulan melangkaui perniagaan perisian tradisional, di samping membuka peluang kepada Censof untuk meneroka permintaan yang lebih besar dalam pendigitalan sektor awam.
Lebih penting, mandat berkenaan dijangka mewujudkan aliran pendapatan berulang dan bernilai lebih tinggi untuk tempoh beberapa tahun, sekali gus meletakkan Censof pada kedudukan strategik dalam agenda pendigitalan sektor awam Malaysia untuk tempoh tiga tahun akan datang dan seterusnya.
Pengarah Urusan Kumpulan Censof, Ameer Shaik Mydin berkata, pelantikan itu mengesahkan kepercayaan yang diberikan kerajaan kepada Censof dan Century Software sepanjang 28 tahun lalu.
“Pemilihan sebagai Scale Solution Provider Microsoft bagi sektor awam bukan sekadar kejayaan komersial, malah pencapaian penting bagi Censof dalam usaha memperkukuh kedudukan Kumpulan dalam ekosistem digital sektor awam Malaysia.
“Dengan menggabungkan kepakaran mendalam Century Software dalam sektor awam bersama keupayaan awan, AI dan teknologi digital Kumpulan, kami berada pada kedudukan baik untuk menyokong pelbagai keperluan pendigitalan kerajaan,” katanya.
Hubungan Dengan Lebih 105 Agensi Kerajaan
Century Software kini mempunyai hubungan dengan lebih 105 agensi kerajaan, merangkumi kementerian Persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun, GLC dan pihak berkuasa tempatan di Semenanjung Malaysia, Sabah serta Sarawak.
Antara projek penting yang pernah dilaksanakan termasuk sistem pelesenan kenderaan perdagangan i-SPKP bernilai RM17.9 juta, kemudahan pertukaran data antarabangsa HIDEF untuk Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) bernilai RM8.7 juta, Sistem Bersepadu Kewangan Hasil 2.0 bernilai RM11.2 juta serta sistem Perancangan Sumber Kerajaan untuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bernilai RM17.8 juta.
Rekod terkini itu turut mengukuhkan kedudukan Century Software sebagai rakan teknologi sektor awam, termasuk dua kontrak LHDN bernilai keseluruhan RM19.9 juta yang diumumkan pada Mei 2026.
Dari segi keupayaan teknologi, Century Software turut disokong Cloocus Sdn Bhd yang mengkhusus dalam Azure, AI, data, keselamatan dan kerja moden serta merupakan penyedia perkhidmatan terurus Microsoft Azure Expert yang diperakui.
Ekosistem itu dilengkapi CS Cloud Sdn Bhd yang menyediakan operasi terurus 24 jam dan rangkaian awan berasaskan keselamatan ISO 27001, sekali gus membolehkan Kumpulan menawarkan khidmat nasihat, pelesenan, pelaksanaan serta sokongan awan Microsoft secara menyeluruh.
Pada masa sama, penubuhan rantau awan Microsoft Malaysia West serta agenda AI nasional dijangka terus meningkatkan permintaan sektor awam terhadap migrasi awan, penggunaan AI dan infrastruktur digital yang selamat.
Ketua Pegawai Eksekutif Century Software, Mohd Faiz Alias berkata, syarikat akan memanfaatkan asas pelanggan lebih 105 agensi untuk mempercepatkan penggunaan Microsoft 365, Microsoft Azure, Microsoft Copilot dan penyelesaian keselamatan dalam sektor awam.
“Pada masa sama, kami akan membawa agensi baharu dan memacu peluang peningkatan jualan yang mewujudkan produktiviti digital berpanjangan untuk perkhidmatan awam Malaysia,” katanya. - DagangNews.com


