
PETALING JAYA: Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) mengumumkan pelantikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sebagai Pengerusi baharunya, berkuat kuasa 13 Ogos lalu.
Pelantikan beliau hadir ketika MRT Corp memasuki fasa penting dalam melaksanakan mandat bagi membangunkan infrastruktur rel dan pembangunan bandar negara.
MRT Corp kini sedang memacu beberapa projek infrastruktur utama merangkumi Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dan LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang, selain memperkukuh pembangunan berorientasikan transit (TOD), hartanah bersepadu dan penjanaan hasil komersial.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd. Zarif Hashim berkata, pengalaman luas Wan Ahmad Dahlan dalam pentadbiran awam, tadbir urus dan kepimpinan institusi bakal memberi nilai tambah besar kepada syarikat.
“Pengalaman beliau akan membantu MRT Corp dalam melaksanakan projek infrastruktur utama negara serta memperkukuh peranannya memajukan agenda mobiliti dan pembangunan bandar di Malaysia.
“Kepakaran beliau dalam pengurusan institusi dan pelaksanaan dasar juga akan membantu MRT Corp memperkukuh keupayaan pelaksanaan serta memenuhi mandat sebagai pemangkin kelestarian bandar dan mobiliti rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Wan Ahmad Dahlan memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1995 dan berpengalaman lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam.
Sebelum ini, beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri serta Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara.
Selain itu, beliau turut memegang jawatan Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dan Razak School of Government, di samping menganggotai Lembaga Pengarah Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). –UTUSAN
The post MRT Corp lantik Wan Ahmad Dahlan sebagai Pengerusi appeared first on Utusan Malaysia.





