The Verge baru-baru ini melaporkan bahawa Microsoft sedang melihat kepada cara-cara baru untuk mendapatkan lebih ramai orang untuk membayar dan menggunakan perkhidmatan langganan permainan video mereka, Xbox Game Pass.
Pelan langganan ini hadir dengan beberapa tahap, termasuklah Xbox Game Pass, Xbox Game Pass Premium dan Xbox Game Pass Ultimate, yang hadir dengan penambahan perkhidmatan lain seperti langganan ke Fortnite Crew, permainan klasik dari Ubisoft dan sebagainya.
Microsoft dilaporkan sedang mempertimbangkan gabungan langganan Xbox Game Pass Premium bersama-sama dengan PC Game Pass untuk membolehkan pelanggan tersebut mendapatkan akses kepada permainan-permainan terbaru yang dilancarkan pada hari pertama seperti apa yang diperlihatkan pada Xbox Game Pass Ultimate dan juga PC Game Pass.

Microsoft juga dilaporkan tidak akan membuat sebarang perubahan drastik sepanjang tahun ini, tetapi itu mungkin berubah pada tahun hadapan sekiranya mereka rasakan ada keperluan untuk mengemaskini penawaran langganan dibawah jenama Xbox.
Untuk pengguna di Malaysia, perkara ini mungkin tidak memberi begitu banyak kesan kepada keadaan di pasaran tempatan, kerana kita hanya mempunyai akses kepada PC Game Pass sahaja, dan langganan kepada Xbox Game Pass akan memerlukan akaun Xbox dari kawasan-kawasan yang ada langganan perkhidmatan tersebut.
Isu mungkin tiba sekiranya Microsoft membuat keputusan untuk menggabungkan langganan PC Game Pass dengan Xbox Game Pass, tetapi dengan betapa banyaknya pasaran (seperti Malaysia) yang tidak mempunyai akses kepada langganan tersebut, kami tidak rasakan bahawa isu tersebut akan berlaku untuk masa ini.
