Microsoft Menganggarkan 8.5 Juta Komputer Windows Terkesan Dengan Masalah Kemaskini Crowdstrike

TechnologyDigital
21 Jul 2024 • 1:02 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada penghujung minggu lepas, salah satu perkara yang mengejutkan arena IT seluruh dunia adalah apabila sebuah kemaskini kepada perisian sekuriti Crowdstrike yang membuatkan komputer Windows mengalami masalah – sekaligus menjejaskan operasi ratusan syarikat gergasi seluruh dunia.

Berkongsi mengenainya, Microsoft menganggarkan sekitar 8.5 juta peranti Windows terkesan dengan kemaskini bermasalah Crowdstrike ini – iaitu kurang daripada 1% komputer Windows seluruh dunia. Namun, walaupun angkanya kecil, Microsoft menyatakan impak ekonomi yang dibawakan kesan daripadanya adalah sangat besar.

Hal ini adalah kerana pelbagai perusahaan besar yang menggunakan Crowdstrike sebagai perlindungan daripada serangan siber.

Microsoft turut menekankan yang mana walaupun Crowdstrike bukan merupakan penyelesaian mereka, namun Microsoft telah bekerjasama dengan mereka dalam membangunkan penyelesaian untuk mengatasi masalah tersebut, selain turut menggunakan ratusan jurutera Microsoft dan pakar dalam membantu memulihkan perkhidmatan yang tergendala disebabkan oleh Crowdstrike ini.