Microsoft Recall Kini Diperlihatkan Secara Rasmi Melalui Kemaskini Windows 11 Terbaru

TechnologyDigital
29 May 2025 • 12:07 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Setelah ditunda untuk sekian lama, salah satu ciri kecerdasan buatan yang diperkenalkan oleh Microsoft melalui sistem operasi Windows 11 mereka, iaitu Microsoft Recall akhirnya telah mula diperkenalkan secara rasmi.

Melalui kemaskini terbaru sistem operasi tersebut, Microsoft Recall akhirnya tiba untuk semua pengguna sistem operasi tersebut, selagi ia menggunakan komputer yang hadir dengan pengesahan CoPilot+ PC, seperti komputer riba yang dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen AI terbaru, Intel Lunar Lake dan Qualcomm Snapdragon X.

image is not available

Setelah anda mengemaskini versi sistem operasi Windows 11 kepada versi terbaru (April Update), apabila anda menghidupkan komputer, menu ini akan keluar untuk meminta kebenaran untuk mengaktifkan ciri tersebut. Anda diberi pilihan untuk menggunakannya atau tidak, dan tidak akan diaktifkan jika anda tidak membenarkannya.

image is not available

Ciri Microsoft Recall akan mengambil tangkapan layar untuk kesemua aktiviti-aktiviti pada komputer anda, dan menyimpannya untuk membolehkan anda menjejak kembali aktiviti tersebut melalui carian teks dan gambar.

Ramai pengguna Windows mempunyai isu dengan ciri Recall ini kerana risau tentang butiran-butiran peribadi yang akan dirakam oleh pihak Microsoft, khususnya apabila sebelum ini, ia diumumkan bahawa tangkapan layar tersebut akan disimpan dalam storan awanan.

image is not available

Sejak itu, Microsoft telah menunda pelancarannya, dan telah membuat sejumlah perubahan, seperti menyimpan tangkapan layar tersebut dalam komputer pengguna dan tidak akan menggunakan storan awanan.

Recall kemudiannya telah diperkenalkan kepada penguji Windows Insider Program, dan kini, dengan kemaskini April Update terbaru, telah dilancarkan secara rasmi. Kemaskini tersebut diperlihatkan secara berkadar, dan kini nampaknya telah diperkenalkan kepada lebih ramai pengguna Windows 11.