Siri peranti Microsoft Surface Duo kebiasaannya dikenali sebagai peranti yang hadir dengan dua paparan yang boleh dilihat, tetapi menurut laporan-laporan yang baru hadir, siri ketiga peranti ini akan hadir dengan satu perubahan yang cukup drastik.
ia dilaporkan bahawa Microsoft telah memfailkan paten untuk paparan skrin boleh-lipat mereka sendiri, dan paparan ini akan digunakan pada peranti Microsoft Surface Duo 3 yang akan diperkenalkan kelak.

Microsoft Surface Duo 3 yang asal sepatutnya masih hadir dengan paparan dwi-skrin dengan rekaan yang lebih nipis, mempunyai ciri-ciri tambahan seperti pengecasan nirwayar dan sebagainya.
Sebaliknya, peranti Surface Duo seterusnya dijangka akan tiba dengan paparan skrin boleh-lipat dan rekaan yang lebih memiripi peranti seperti Samsung Galaxy Z Fold, Vivo X Fold dan sebagainya.

Buat masa ini, spesifikasi tambahan seperti cip pemprosesan yang akan digunakan dan juga pilihan memori dan storan juga belum diketahui lagi, tetapi Microsoft dilihat sebagai salah satu syarikat yang sedang bekerjasama dengan Qualcomm untuk membangunkan cip-cip pemprosesan untuk peranti mereka, seperti Microsoft SQ3 yang digunakan untuk menguasakan Surface Pro 9 5G mereka.
Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi bilakah Microsoft akan memperkenalkan peranti Surface Duo terbaru mereka ini.
