
KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Hong Kong (InvestHK) memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) bagi merancakkan lagi hubungan pelaburan dua hala merentasi rantau ASEAN, Kawasan Teluk Besar (Greater Bay Area) dan Tanah Besar China.
Pembaharuan perjanjian berkenaan dimeterai bagi mengemas kini perjanjian asal yang pernah ditandatangani pada 2014 lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, langkah ini amat bertepatan pada masanya bagi mendepani cabaran peralihan rantaian bekalan serta penjajaran baharu global.
“Kerjasama ini menawarkan pintu masuk yang dipercayai ke ASEAN bagi pelabur dari Hong Kong, selain menjadi jambatan untuk syarikat Malaysia menembusi pasaran Tanah Besar China dan global,” katanya semasa Seminar Perniagaan Hong Kong-Malaysia di sini hari ini.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin dan Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Algernon Yau.
Menurut MIDA, Hong Kong kekal sebagai rakan pelaburan asing yang signifikan dengan merekodkan kelulusan hampir 1,000 projek pembuatan bernilai melebihi RM60 bilion dari tahun 1980 hingga Mac 2026, sekali gus menjana hampir 197,000 peluang pekerjaan.
Pada 2025, Hong Kong menduduki tempat ketiga sebagai sumber terbesar pelaburan pembuatan diluluskan di Malaysia dengan nilai mencecah RM12.4 bilion.
Sementara itu, Ketua Pengarah Promosi Pelaburan Invest Hong Kong, Alpha Lau berkata, Malaysia dan Hong Kong merupakan rakan kongsi semula jadi yang saling melengkapi dalam landskap ekonomi serantau.
Katanya, ketika syarikat-syarikat global berusaha membangunkan operasi yang lebih berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan, Hong Kong bersedia menawarkan sokongan modal, rangkaian kesalinghubungan yang kukuh serta perkhidmatan profesional bertaraf dunia.
“Di satu pihak yang lain pula, Malaysia menawarkan kelebihan tersendiri menerusi barisan bakat yang kompeten, ekosistem industri yang mantap serta kedudukannya sebagai pintu masuk strategik ke Asean untuk menyokong pertumbuhan korporat.
“Oleh itu, kerjasama yang diperbaharui ini akan bertindak sebagai pemangkin penting untuk memudahkan pergerakan perniagaan yang lebih lancar antara kedua-dua pasaran, dan seterusnya berkembang ke pasaran antarabangsa yang lain,” katanya.
Melalui MoU baharu itu, kedua-dua pihak akan memberi penekanan khusus terhadap fasilitasi pelaburan bernilai tambah tinggi merangkumi sektor semikonduktor dan elektronik, pembuatan termaju, ekonomi digital, tenaga baharu serta farmaseutikal. –UTUSAN
The post MIDA, Invest Hong Kong terus perkukuh pelaburan dua hala appeared first on Utusan Malaysia.





