
Kota Kinabalu: Pintu masuk Serudong yang bakal dibangunkan dijangka menjadi pemangkin utama kepada sektor pelancongan, perdagangan dua hala, logistik dan pelaburan rentas sempadan antara Sabah dan Kalimantan Utara, menurut Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia).
Timbalan Ketua Eksekutif Sedia Ir Dr Chong Vun Leong berkata laluan itu turut dijangka memperkukuh kerjasama institusi antara Sabah dan Kalimantan Utara selain meningkatkan akses kepada pasaran, perkhidmatan dan peluang ekonomi bagi komuniti di kawasan sempadan.
“Pintu masuk Serudong yang bakal dibangunkan berpotensi memudah cara pelancongan, perdagangan dua hala, logistik dan pelaburan rentas sempadan, di samping memperkukuh kerjasama institusi antara Sabah dan Kalimantan Utara.
“Ia juga akan meningkatkan akses kepada pasaran, perkhidmatan dan peluang ekonomi bagi komuniti di kawasan sekitarnya,” katanya ketika mewakili Ketua Eksekutif Sedia Datuk Seri Hashim Paijan pada sidang media sempena program ‘30 Years Tribute to Trans Borneo 2026’ di pejabat Lembaga Pelancongan Sabah (STB), di sini, Isnin.
Dr Chong berkata gerbang itu akan direalisasikan menerusi pembinaan Jalan Sempadan Sabah-Kalimantan di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC).
“Apabila siap kelak, jalan itu akan menyediakan akses terus ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang dicadangkan di Serudong. Ini akan menjadi satu langkah penting ke arah pewujudan pintu masuk sempadan darat antarabangsa rasmi pertama Sabah dengan Indonesia,” katanya.
Beliau menyifatkan Jalan Sempadan Sabah-Kalimantan sebagai pelaburan strategik yang akan memperkukuh hubungan serantau dan mewujudkan peluang ekonomi baharu, selain mencerminkan komitmen Sabah dalam mempertingkat infrastruktur, meningkatkan daya saing serantau serta memastikan pembangunan sosioekonomi yang inklusif.
Katanya, projek itu dilaksanakan pada waktu yang strategik ketika Indonesia sedang membangunkan Nusantara sebagai ibu negara baharunya di Kalimantan Timur, sekali gus meletakkan Sabah pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peningkatan hubungan rentas sempadan.
Menurut beliau, pintu masuk Serudong dijangka membuka peluang dalam perdagangan, logistik, pelaburan dan pelancongan darat antara Sabah dan Kalimantan Utara.
“Visi ini selaras dengan keutamaan strategik SDC serta aspirasi lebih luas Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dalam memacu integrasi ekonomi, pertumbuhan inklusif dan pembangunan mampan di seluruh rantau ini.
“Pembangunan Gerbang Serudong bukan sahaja penting kepada Sabah, malah menjadi sebahagian daripada visi serantau yang lebih luas ke arah mewujudkan Borneo yang lebih saling berhubung, bersepadu dan makmur,” katanya.
Dr Chong menegaskan Jalan Sempadan Sabah-Kalimantan bukan sekadar infrastruktur fizikal, sebaliknya menjadi nadi yang menghubungkan komuniti luar bandar dengan pusat ekonomi, kemudahan kesihatan, pendidikan dan peluang perniagaan baharu.
“Infrastruktur bukan sekadar konkrit, jambatan dan keluli. Intipatinya adalah menghubungkan rakyat dengan peluang. Paling penting, ia mampu meningkatkan taraf kehidupan dan mewujudkan peluang yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata ekspedisi Trans Borneo 2026 membuktikan bagaimana pelancongan mampan, infrastruktur strategik dan kerjasama serantau mampu memperkukuh hubungan di seluruh Borneo, di samping mengetengahkan potensi Sabah sebagai pintu masuk utama pelancongan darat antarabangsa.
Dr Chong berkata Sedia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa pelancongan, komuniti tempatan dan rakan sektor swasta bagi menyokong inisiatif yang membawa manfaat sosioekonomi mampan untuk jangka panjang kepada Sabah.





