MIDF lulus pembiayaan berasaskan harta intelek RM10 juta kepada jenama Christy Ng dan yogurt Sunglo

LocalBusiness & Finance
2 Nov 2026 • 4:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MIDF lulus pembiayaan berasaskan harta intelek RM10 juta kepada jenama Christy Ng dan yogurt Sunglo Image from: MIDF lulus pembiayaan berasaskan harta intelek RM10 juta kepada jenama Christy Ng dan yogurt Sunglo amree02/11/2026 - 16:20 (DARI kiri) Ketua Pegawai Eksekutif MIDF, Azizi Mustafa, melihat dokumen laporan akhir projek perintis pembiayaan berasaskan IP dirasmikan oleh Timbalan Menteri MITI, Sim Tze Tzin, disaksikan Pengerusi MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Nov — Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) meluluskan kemudahan pembiayaan berjumlah RM10 juta kepada dua syarikat tempatan menerusi inisiatif pembiayaan bersandarkan harta intelek (IP) yang pertama seumpamanya di negara ini.

 

Kemudahan berkenaan merupakan pencapaian penting Projek Perintis Pembiayaan IP antara MIDF dan World Intellectual Property Organization (WIPO), yang membabitkan produk keluaran Christy Ng serta Magic Food Sdn Bhd, syarikat di sebalik jenama yogurt Sunglo.

 

Inisiatif itu turut mencatat sejarah apabila menjadi projek perintis pembiayaan IP yang pertama WIPO di peringkat global, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara negara terawal meneroka penggunaan aset tidak ketara sebagai asas pertimbangan pembiayaan.

 

"Projek tersebut dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara MIDF dan WIPO bagi membuka peluang kepada perniagaan berasaskan inovasi memanfaatkan nilai ekonomi yang terkandung dalam jenama, teknologi serta harta intelek masing-masing," kata MIDF dalam kenyataan.

 

Pencapaian projek IP itu diraikan menerusi majlis penutupan rasmi di Petaling Jaya, Selangor pada Isnin, yang turut menyaksikan pelancaran dokumen Laporan Akhir inisiatif berkenaan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin.

 

Pengerusi MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, inisiatif itu membuktikan pembiayaan berasaskan harta intelek mampu berkembang daripada konsep kepada pelaksanaan praktikal, khususnya dalam landskap ekonomi yang semakin dipacu inovasi dan pengetahuan.

 

MIDF_DagangNews2026
(DARI kiri) Azizi Mustafa, Sim Tze Tzin dan Abdul Rahman Mamat menunjukkan tanda bagus selepas pelancaran Laporan Akhir inisiatif pembiayaan berasaskan IP.

 

Menurutnya, harta intelek kini menjadi aset penting dalam mencipta nilai ekonomi, meningkatkan daya saing serta menyokong pertumbuhan mampan perniagaan, sekali gus memerlukan pendekatan pembiayaan yang lebih inovatif.

 

"Justeru, projek perintis ini turut membolehkan MIDF bersama rakan strategiknya membangunkan rangka kerja praktikal merangkumi penilaian aset tidak ketara, tadbir urus, dokumentasi perundangan, penilaian risiko dan pemantauan pembiayaan," tambah beliau.

 

Sementara itu, Tze Tzin berkata, inisiatif berkenaan melengkapi aspirasi kerajaan menerusi Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang memberi penekanan kepada aspek inovasi, pengkomersialan serta aktiviti ekonomi bernilai tinggi.

 

Ujarnya, usaha perluasan pembiayaan berasaskan IP adalah penting bagi membantu perniagaan mudah mendapatkan akses kepada modal, khususnya apabila nilai ekonomi sesebuah syarikat semakin bergantung kepada jenama, idea dan teknologi yang dimilikinya.

 

Kerjasama MIDF, WIPO, SME Corp Malaysia, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta pakar industri itu dijangka memperkukuh ekosistem pembiayaan IP negara, sekali gus membuka banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan inovatif untuk berkembang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved