
PETALING JAYA: Pembiayaan berasaskan harta intelek (IP) berpotensi membuka akses pembiayaan baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya perniagaan berteraskan inovasi yang memiliki aset tidak ketara sebagai kelebihan utama.
Potensi itu ditunjukkan menerusi pelaksanaan projek perintis Pembiayaan Perbankan Harta Intelek hasil kerjasama Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO), yang menyaksikan dua syarikat tempatan memperoleh kemudahan pembiayaan berjumlah RM10 juta.
Dua syarikat berkenaan ialah Christy Ng dan Magic Food Sdn. Bhd., syarikat di sebalik jenama yogurt Sunglo, dengan pembiayaan itu menggunakan harta intelek sebagai sebahagian daripada penilaian kemudahan kewangan.
Pengerusi MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, pendekatan pembiayaan konvensional lazimnya berasaskan aset ketara seperti tanah, bangunan, mesin dan peralatan, sedangkan perubahan landskap perniagaan meningkatkan kepentingan aset tidak ketara dalam mencipta nilai ekonomi.
“Paten, tanda dagangan, teknologi proprietari, perisian dan reka bentuk industri mempunyai nilai komersial tersendiri kerana mampu mencerminkan hasil penyelidikan, reputasi syarikat serta kelebihan daya saing sesebuah perniagaan.
“Bagaimanapun, aset berkenaan masih belum memainkan peranan setara dengan cagaran konvensional dalam keputusan pembiayaan, sekali gus mengehadkan pilihan modal kepada syarikat inovatif yang tidak memiliki aset fizikal mencukupi.
“Jika kita mahu menggalakkan lebih banyak inovasi, kita juga perlu mewujudkan keadaan yang membolehkan perniagaan membuka nilai ekonomi daripada inovasi tersebut,” katanya di Majlis Pelancaran Laporan Penutupan Projek Rintis Pembiayaan Harta Intelek (IP) di Menara MBSB di sini hari ini.
Beliau berkata, projek perintis yang dilaksanakan bersama WIPO itu membuktikan pembiayaan berasaskan IP boleh dilaksanakan secara praktikal, selain membantu membangunkan kaedah berkaitan penilaian harta intelek, dokumentasi perundangan, tadbir urus dan pengurusan risiko.
Katanya, pengalaman daripada projek berkenaan menjadi asas untuk memperkukuh rangka kerja pembiayaan IP, meskipun penambahbaikan masih diperlukan dari segi kaedah penilaian, penerimaan pasaran dan keupayaan institusi kewangan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif MIDF, Azizi Mustafa berkata, nilai harta intelek dalam ekonomi berasaskan pengetahuan tidak lagi terhad kepada aspek pemilikan undang-undang, sebaliknya turut mencerminkan inovasi, keupayaan teknologi, kreativiti dan potensi pertumbuhan sesebuah syarikat.
“Bagi kebanyakan perniagaan inovatif, khususnya PKS, aset paling bernilai mungkin bukan bangunan atau kemudahan fizikal, sebaliknya paten, teknologi, reka bentuk industri dan harta intelek lain yang dibangunkan.
“Aset tidak ketara berkenaan mempunyai potensi komersial, namun kekurangan pengiktirafan dalam sistem pembiayaan konvensional menyebabkan nilai yang dimiliki syarikat sukar diterjemahkan kepada akses modal.
“Pembiayaan berasaskan IP menyediakan satu lagi saluran kepada perniagaan inovatif untuk memanfaatkan nilai ekonomi aset tidak ketara mereka, sekali gus membolehkan syarikat mendapatkan modal bagi mengembangkan operasi dan pasaran antarabangsa,” katanya. – UTUSAN
The post Pembiayaan berasaskan IP buka peluang baharu kepada PKS appeared first on Utusan Malaysia.





