MIDF Research kekal berhati-hati terhadap prospek Fraser & Neave akibat ketidatentuan harga komoditi, inflasi

Business & Finance
4 Aug 2023 • 10:36 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MIDF Research kekal berhati-hati terhadap prospek Fraser & Neave akibat ketidatentuan harga komoditi, inflasi

azan

04/08/2023 - 10:36

KUALA LUMPUR 4 Ogos - MIDF Research kekal berhati-hati terhadap prospek Fraser & Neave Holdings Berhad akibat ketidaktentuan harga komoditi, kadar tukaran mata wang asing dan tekanan inflasi terhadap kos operasi.

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu sudah mengambil langkah proaktif dengan membeli sebahagian besar daripada keperluan bahan mentahnya untuk 4QFY23.

Katanya, itu menunjukkan bahawa pihak pengurusan berjaya memperoleh harga bahan mentah pada tahap yang selesa dan terdapat permintaan yang berdaya tahan untuk produknya.

"Selain itu, kami mendapati bahawa kebanyakan harga komoditi telah menyusut daripada kemuncaknya selama 2 tahun, digabungkan dengan pelbagai pelarasan harga untuk semua produk.

"Oleh itu, kami menjangkakan margin keuntungan yang lebih baik dalam tempoh terdekat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu meningkat 1.9% kepada RM99.37 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Jun 2023 (3QFY23) berbanding RM97.50 juta setahun sebelumnya, didorong oleh harga keseluruhan yang lebih tinggi, margin dan pengurusan kos, serta sumbangan daripada Cocoaland Holdings Berhad.

Bagaimanapun, pendapatan itu diimbangi kerugian nilai saksama ke atas hartanah pelaburan, kerugian kemerosotan nilai ke atas hartanah, kilang dan peralatan, serta inventori yang diturunkan nilai.

Hasil suku tahun mereka melonjak 19% kepada RM1.33 bilion daripada RM1.12 bilion, hasil jualan perayaan yang memberangsangkan, peningkatan dalam pasaran makanan dan minuman (F&B) di Malaysia dan Thailand, pemulihan dalam pasaran eksport dan sumbangan tambahan Cocoaland.

Firma penyelidikan itu berkata, F&N kekal sebagai antara pilihan utama dalam sektor itu kerana kumpulan itu mencatatkan peningkatan penggunaan perniagaan saluran luar rumah (OOH) didorong oleh lonjakan pelancong yang melawat Malaysia dan Thailand.

Selain itu, peningkatan permintaan minuman ringan dan air berkarbonat di Asia Tenggara, didorong oleh gelombang haba semasa selain hasil tambahan daripada kejayaan penyepaduan Cocoaland ke dalam operasi syarikat dan jualan eksport yang lebih baik ke China hasil daripada cuaca ekstrem yang berterusan.

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM33.50 sesaham," katanya. - DagangNews.com