MIDF Research kekal ‘neutral’ terhadap sektor penerbangan susulan pemulihan kukuh trafik penumpang pada Ogos 2023

Business & Finance
4 Oct 2023 • 9:51 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MIDF Research kekal ‘neutral’ terhadap sektor penerbangan susulan pemulihan kukuh trafik penumpang pada Ogos 2023

diyana

04/10/2023 - 09:51

KUALA LUMPUR 4 Okt - MIDF Research kekal ‘neutral’ terhadap sektor penerbangan memandangkan jumlah trafik penumpang dalam lapan bulan pertama tahun ini mencapai 60% daripada unjuran tahun penuh firma tersebut.

Trafik penumpang di lapangan terbang Malaysia telah pulih kepada 79% pada Ogos dan purata pergerakan penumpang harian pada bulan tersebut telah mencapai kemuncak hampir 240,000 orang.

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pemulihan sektor sebanyak 85% (domestik: 90%, antarabangsa: 80%) tahun ini.

“Unjuran awal kami bagi tahun 2024 menjangkakan pertumbuhan 4% dalam trafik penumpang berbanding tahap 2019, didorong oleh (i) syarikat penerbangan tempatan mengembangkan armada mereka, (ii) syarikat penerbangan asing (baru dan sedia ada) kembali beroperasi, dan (iii) kebangkitan semula pelancong China secara beransur-ansur,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagi prospek sektor pula, MIDF Research berkata kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS) dan ringgit Malaysia (USDMYR) yang meningkat mungkin menimbulkan halangan jangka pendek bagi syarikat penerbangan tempatan disebabkan perbelanjaan besar dalam dolar AS.

Bagaimanapun, katanya, mereka mungkin mendapat manfaat daripada persekitaran tambang penerbangan berhasil tinggi yang dipermudahkan oleh harga dinamik dan penggunaan surcaj bahan api untuk menguruskan turun naik harga minyak mentah.

“Memandangkan kita menghampiri musim kemuncak pada suku keempat 2023, bilangan trafik dijangka terus naik, didorong oleh cuti akhir tahun, dan menawarkan ruang kepada sektor bukan ASEAN untuk meningkat.

“Pertumbuhan ini juga akan disokong oleh pengaktifan semula armada AirAsia sepenuhnya secara beransur-ansur, yang dijadualkan selesai pada Disember tahun ini,” tambahnya.

Firma itu berkata kadar pemulihan trafik penumpang bagi sektor bukan ASEAN telah melebihi 70% buat pertama kali.

Pilihan utama MIDF Research bagi sektor penerbangan adalah Capital A Berhad (TP: 90 sen) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (TP: RM7.45) dengan mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap kedua-dua saham. - DagangNews.com