MIDF Research mulakan liputan terhadap Matrix Concepts dengan saranan ‘beli’, TP RM1.81
diyana
04/09/2023 - 10:38
KUALA LUMPUR 4 Sept - MIDF Research memulakan liputan terhadap Matrix Concepts dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) sebanyak RM1.81 sesaham, yang ditambaht dengan diskaun 25% kepada aset bersih dinilai semula (RNAV).
Firma penyelidikan itu berkata pandangan positifnya terhadap pemaju hartanah yang tersebut berdasarkan lima faktor, iaitu (1) status mantapnya sebagai pemaju perbandaran di Seremban menumpukan kepada rumah mampu milik, (2) rekod baik pembayaran dividen, (3) prospek pendapatan lebih baik mulai FY24 dan seterusnya, (4) pemangkin jangka pendek dari projek di Indonesia dan perbankan tanah di Labu, Seremban, dan (5) kunci kira-kira yang sihat.
Jelasnya, kumpulan tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu merupakan pemaju bagi perbandaran Bandar Sri Sendayan berkeluasan 5377 hektar, yang memberi keterlihatan pendapatan bagi lima hingga tujuh tahun akan datang.
Selain itu, firma tersebut berkata Matrix Concepts telah memberikan dividen secara konsisten sejak penyenaraiannya dan mempunyai dasar dividen untuk membayar tidak kurang daripada 50% daripada pendapatan.
“Kami menganggarkan Matrix Concepts akan membayar dividen sebanyak 9.5 sen sesaham pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24) yang diterjemahkan kepada hasil dividen sebanyak 6.4%.
“Sementara itu, kunci kira-kira Matrix Concepts bertambah baik kepada kedudukan tunai bersih pada FY23 daripada nisbah hutang-kepada-ekuiti (penggearan bersih) rendah sebanyak 0.04 kali dalam FY22, yang sepatutnya membantu mengekalkan pembayaran dividennya kepada pemegang saham,” ulas MIDF Research dalam nota penyelidikan hari ini.
Di samping itu, firma itu berpendapat bahawa prospek pendapatan kumpulan lebih baik pada FY24/25 memandangkan kemajuan pembinaan di tapak-tapak projek telah kembali normal dan dapat disokong oleh prospek jualan baharu yang semakin baik.
“Kami menganggarkan pendapatan Matrix Concepts bagi FY24 dan FY25 masing-masing lebih tinggi pada RM255.5 juta (15.8% tahun ke tahun [YoY]) dan RM280.3 juta (9.7%yoy),” katanya sambil menambah bahawa kumpulan itu menyasarkan jualan baharu sebanyak RM1.3 bilion pada FY24, lebih tinggi daripada jualan baharu berjumlah RM1.2 bilion dalam FY23.
Menurut MIDF Research, kumpulan itu memiliki perbankan tanah seluas 559 hektar di Labu, yang terletak dalam koridor Malaysia Vision Valley (MVV), di mana syarikat usaha sama dengan NS Corp, iaitu N9 Matrix Development Sdn Bhd akan membangunkan tanah berkenaan.
“Pengambilalihan tanah tersebut dijangka menyokong prospek Matrix Concepts menjangkaui 2030, sementara pelancaran projek pertama dijangka pada FY26 dan menyokong pertumbuhan pendapatan pada masa hadapan,” tambahnya.
Kumpulan itu juga terlibat dalam projek Menara Syariah di Indonesia dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion, di mana kemajuan pembinaannya dianggarkan 95% setakat Jun 2023 dan projek itu disasarkan siap dalam suku keempat tahun ini.
Pada waktu penulisan, saham Matrix Concepts susut 2 sen atau 1.3% kepada RM1.50 dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.88 bilion. - DagangNews.com

