MIDF Research: Pelabur asing terus jual RM506.5 juta ekuiti Malaysia bagi minggu ketujuh berturut-turut
diyana
06/06/2023 - 10:01
KUALA LUMPUR 6 Jun - Pelabur asing terus menjual ekuiti Malaysia sebanyak RM506.5 juta bagi minggu ketujuh berturut-turut, paras terakhir dilihat pada pertengahan Mac 2023, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing telah menjadi penjual bagi 16 daripada 22 minggu tahun ini, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM2.96 bilion.
Mereka telah menjual bersih pada setiap hari dagangan minggu lalu dengan Rabu menyaksikan jumlah tertinggi pada RM199.3 juta.
Menurut firma itu, tiga kaunter teratas yang merekodkan jualan bersih pelabur asing pada hari tersebut ialah RHB Bank (RM45.8 juta), Hap Seng Consolidated (RM31.9 juta) dan Public Bank (RM30.7 juta).
“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih mereka ialah teknologi (RM47.3 juta), telekomunikasi dan media (RM27.4 juta) dan pengangkutan dan logistik (RM24.7 juta).
“Manakala tiga sektor teratas dengan aliran keluar bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM181.6 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM161.5 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM137.4 juta),” katanya dalam nota hari ini.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan bertukar menjadi pembeli bersih minggu lalu pada RM372.9 juta. Sehingga kini bagi 2023, mereka telah membeli bersih ekuiti tempatan untuk 16 daripada 22 minggu, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM2.79 bilion.
Manakala pelabur runcit kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan mencatatkan jumlah RM133.6 juta minggu lalu, di mana mereka membeli bersih setiap hari dagangan kecuali Jumaat dengan jualan bersih RM9.6 juta
Setakat ini, pelabur runcit telah menjadi pembeli bersih bagi 11 daripada 22 minggu dengan merekodkan belian bersih berjumlah RM173.5 juta.
“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) merentas pelabur runcit (13.6%), pelabur institusi tempatan (4%) dan pelabur asing (139.4%),” tambahnya.



