MIDF Research tidak tolak kemungkinan pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian 2024 terjejas akibat kelembapan ekonomi China, AS

Business & Finance
7 Feb 2024 • 5:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MIDF Research tidak tolak kemungkinan pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian 2024 terjejas akibat kelembapan ekonomi China, AS

herman

07/02/2024 - 17:50

KUALA LUMPUR 7 Feb - MIDF Research tidak menolak kemungkinan pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia pada tahun ini terkesan dengan kelembapan pemulihan ekonomi China selain terdapat keberangkalian berlakunya kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat (AS).

Selain itu, katanya, syarikat-syarikat mungkin melihat semula rancangan pengeluaran jika aktiviti perdagangan global terjejas akibat ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan gangguan kepada aliran perdagangan.

Namun secara umumnya, firma penyelidikan itu menjangkakan berlaku pemulihan kepada permintaan luar dan aktiviti pengeluaran global yang akan menyokong pertumbuhan IPI Malaysia bagi tahun 2024.

"IPI Malaysia pada 2024 dijangka mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.7% berbanding 1.1% pada tahun lalu," katanya dalam nota kajian berhubung IPI hari ini.

Menurut MIDF Research, pertumbuhan berterusan dalam permintaan dalam negeri juga akan menyokong pertumbuhan IPI pada 2024.

"Kami optimis melihat kestabilan dalam aktiviti pembuatan pada Januari 2024 seperti yang dilaporkan oleh laporan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) baru-baru ini," jelasnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini melaporkan IPI Malaysia menyusut sebanyak 0.1% tahun ke tahun pada Disember 2023 selepas merekodkan pertumbuhan positif bagi dua bulan berturut-turut.

Penurunan tersebut disebabkan oleh penyusutan dalam sektor Pembuatan sebanyak negatif 1.4%.

Sementara itu, MIDF Research berkata, penyusutan IPI Malaysia pada Disember 2023 adalah di bawah jangkaan pihaknya dan juga pasaran.

"IPI yang lebih lemah adalah disebabkan kejatuhan pengeluaran yang lebih ketara dalam sektor berorientasikan eksport seperti peralatan elektrik, produk petroleum ditapis dan bahan kimia.

"Sebagaimana kita jangka, aliran itu mengikuti rapat prestasi eksport yang lebih lemah pada bulan yang sama kerana pembuatan menyumbang lebih daripada dua pertiga daripada pengiraan IPI," jelas firma penyelidikan itu.- DagangNews.com