Mikayla wakil tunggal wanita wakili Malaysia ke China

6 Aug 2026 • 7:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mikayla wakil tunggal wanita wakili Malaysia ke China

PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Wan Adra Mikayla Wan Mohd Muzri terus mengorak langkah dalam arena permotoran apabila terpilih menjadi satu-satunya pelumba wanita yang akan membawa cabaran Malaysia ke kejohanan Ohvale Guangzhou Supercup 2026 di China pada 17 hingga 23 Ogos ini.

Pemilihan itu menjadi pengiktirafan buat dirinya selepas mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang saingan SIC Ohvale Championship 2026.

Pengurus M8 Racing Team, Nik Azma Nik Day berkata, Mikayla dipilih berdasarkan merit dan prestasi konsisten yang ditunjukkannya sepanjang musim ini.

Menurutnya, pelumba muda berkenaan sentiasa berada dalam kelompok terbaik dan kerap menaiki podium sehingga melayakkannya menerima peluang beraksi di pentas antarabangsa.

“Pemilihan Mikayla bukan dibuat semata-mata untuk melengkapkan penyertaan Malaysia. Dia dipilih berdasarkan merit selepas menunjukkan potensi serta prestasi konsisten dengan sentiasa berada di podium dalam SIC Ohvale Championship 2026.

“Lebih membanggakan, Mikayla merupakan satu-satunya pelumba wanita yang terpilih untuk mewakili Malaysia. Ini peluang besar untuk dia membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa dan membawa nama negara,” katanya.

Kejohanan Ohvale Guangzhou Supercup 2026 dijangka menghimpunkan kira-kira 120 pelumba muda dari 30 negara, menjadikannya antara platform terbaik untuk menguji kemampuan pelumba muda di peringkat antarabangsa.

Saingan berkenaan akan berlangsung di Guangzhou Conghua International Circuit yang terkenal sebagai antara litar pembangunan bakat muda terbaik di rantau Asia.

Bagaimanapun, perjalanan Mikayla untuk berada pada tahap ini bukanlah sesuatu yang mudah apabila berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan mendapatkan lokasi latihan yang sesuai.

Menurut Nik Azma, kos latihan di litar utama yang tinggi turut menjadi antara halangan utama dalam usaha mempersiapkan Mikayla menghadapi kejohanan kompetitif.

“Antara cabaran terbesar Mikayla sebelum ini adalah untuk mencari tempat latihan. Kos untuk berlatih di litar utama juga agak tinggi dan keadaan itu sedikit sebanyak menjadi halangan untuk dia mendapatkan masa latihan yang mencukupi.

“Dengan sokongan APDcrew Circuit, Mikayla kini mempunyai tempat untuk menjalani latihan dan ia sangat membantu dalam persiapannya membawa cabaran Malaysia,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada APDcrew Circuit yang tampil membantu menyediakan lokasi latihan bagi memastikan Mikayla dapat menjalani persiapan lebih teratur dan konsisten.

Pada masa sama, Nik Azma berterima kasih kepada Menteri Besar Selangor Incorporation (MBI) yang menyalurkan bantuan kewangan bagi menyokong perkembangan karier pelumba muda tersebut.

Penghargaan turut diberikan kepada Terengganuku Comey dan kerajaan negeri Terengganu yang menaja Team 4 Racing dalam beberapa program pembangunan serta penyertaan perlumbaan di Malaysia.

Image from: Mikayla wakil tunggal wanita wakili Malaysia ke China
Wan Adra Mikayla

Dalam usaha mempertingkatkan lagi kemahiran perlumbaan, Mikayla turut mendapat bimbingan daripada Azlan atau lebih dikenali sebagai Lan Jawa, yang juga bapa kepada pelumba sensasi sukan permotoran negara, Qabil Irfan.

Pengalaman luas yang dimiliki Azlan dalam membimbing pelumba muda dianggap cukup berharga untuk membantu Mikayla meningkatkan aspek teknikal dan mental menjelang kejohanan di China.

Qabil sebelum ini mencipta nama di pentas antarabangsa menerusi kejayaannya dalam saingan FIM MiniGP World Series dan kejayaan tersebut menjadi inspirasi buat generasi baharu pelumba negara.

Nik Azma berharap lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan kepada Mikayla memandangkan kos penyertaan di peringkat antarabangsa melibatkan perbelanjaan yang tinggi.

“Kami masih membuka ruang kepada mana-mana pihak yang mahu bersama-sama membantu perjalanan Mikayla.

“Setiap bentuk tajaan amat bermakna kerana ini bukan sekadar mengenai seorang pelumba, tetapi usaha untuk membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.

“Mana-mana pihak yang berminat untuk memberikan tajaan kepada Mikayla boleh menghubungi M8 Racing Team,” ujarnya.-UTUSAN

The post Mikayla wakil tunggal wanita wakili Malaysia ke China appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved