
BANGKOK – Petarung muda muay thai negara, Miki Ghazali Zulfikar, membuktikan statusnya sebagai prospek masa depan apabila berjaya menghadiahkan pingat emas acara featherweight 57 kilogram di Sukan SEA Thailand, sebentar tadi.
Turun sebagai petarung termuda dalam final, Miki yang baru berusia 16 tahun langsung tidak menunjukkan sebarang tekanan apabila berdepan wakil tuan rumah, Sirilun Suphakon, yang tujuh tahun lebih berpengalaman, dalam aksi di Stadium Lumpinee, Bangkok.
Pertarungan tiga pusingan menyaksikan Miki menguasai dua pusingan awal dengan kelebihan mata 10-9, sebelum lawannya bangkit pada pusingan terakhir untuk menang 9-10. Namun keputusan keseluruhan 29-28 memihak kepada petarung negara itu.
Sebak Raih Emas, Abang Jadi Saksi
Saat namanya diumumkan sebagai pemenang, Miki tidak dapat menahan sebak sambil ditemani abangnya, Johan Ghazali (Jojo), yang turut berada di sisi gelanggang.
Kemenangan tersebut menyaksikan Miki muncul sebagai antara penyumbang utama kejayaan kem muay thai negara, sekali gus menghadiahkan pingat emas ketiga buat Malaysia selepas Angie Yan (wai kru wanita) dan Wassof Rumijam (bantamweight 54kg) turut menjuarai acara masing-masing. – The Malaysian Update
The post Miki Ghazali Zulfikar Raih Emas Muay Thai SEA Games, Tewaskan Petarung Tuan Rumah appeared first on The Malaysian Update.

