
KUALA LUMPUR, 25 NOV: Seorang lelaki yang memiliki 39 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan termasuk satu kes yang tular melalui media sosial dipercayai di Brickfields di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Ahmad Firdaus Mustaffa Kamal berkata lelaki berusia 51 tahun itu ditahan bersama dua kenderaan termasuk sebuah Proton Iswara dipercayai dicuri membabitkan kes yang tular berkenaan.
Beliau berkata polis sebelum itu menerima laporan kehilangan sebuah Proton Iswara milik seorang wanita berusia 40 tahun di kawasan tempat letak kereta Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Cempaka, Pantai Dalam, di sini pada 4.44 petang Isnin lepas.
"Pada 9 pagi semalam polis berjaya menangkap suspek bagi membantu siasatan serta merampas dua kenderaan iaitu Proton Iswara dan van Toyota Liteace yang dilaporkan hilang, yang disyaki melibatkan suspek sama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Firdaus berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Beliau berkata polis mengesan satu video berdurasi dua minit 17 saat yang memaparkan seorang individu mencuri kenderaan di kawasan perumahan menerusi platform Threads hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung video berkenaan dan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah menerusi hotline Polis Kuala Lumpur 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, hotline Polis Brickfields 03-2297 9222 atau mana-mana balai polis berhampiran.


![[VIDEO] Lelaki 51 tahun aktif curi kenderaan diberkas, ada 39 rekod jenayah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/Untitled-Design-2026-11-25T140826.837.png)


