
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 32 tahun didenda RM5,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen pada Selasa kerana memiliki 249 liter diesel tanpa lesen di dalam sebuah kenderaan.
Hakim Monica Linsua menjatuhkan hukuman itu terhadap Aaron Yii Hung selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki barang kawalan berkenaan yang disimpan dalam sebuah tangki IBC berkapasiti 1,000 liter di dalam kenderaannya.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Datuk Panglima Banting, Minintod, Penampang pada 10 April tahun ini kira-kira jam 11.55 malam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh memiliki barang kawalan berjadual dalam kenderaan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bahawa satu kesalahan di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 akan dilakukan iaitu menjalankan urusan jualan runcit atau borong barang kawalan tanpa lesen.
Yii didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah turut memerintahkan wang hasil diesel berjumlah RM1,207.65 dilucut hak kepada kerajaan selain kenderaan yang digunakan dalam kesalahan itu.
Ketika memohon hukuman denda minimum, Yii yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa itu merupakan kesalahan pertamanya.
Dia turut memaklumkan hanya membawa wang RM4,000 pada Selasa selain tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menyara dua anak yang masih bersekolah.
Bagaimanapun Pegawai Pendakwa, Gunasegaran Krishnan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dan setimpal bagi memberi pengajaran serta menjadi pencegahan kepada orang ramai.
Beliau berkata kesalahan itu merupakan jenayah serius membabitkan penyalahgunaan bahan api bersubsidi kerajaan yang sepatutnya dinikmati rakyat Malaysia yang memerlukan, bukannya digunakan untuk mengaut keuntungan peribadi melalui penjualan semula pada harga lebih tinggi.
Katanya krisis peperangan yang berterusan di Asia Barat turut menyebabkan harga minyak global meningkat sekaligus meningkatkan beban kos yang perlu ditanggung kerajaan bagi meneruskan pemberian subsidi bahan api kepada rakyat.
Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menghentikan kenderaan yang dipandu Yii di sebuah stesen minyak di Jalan Minintod, Penampang pada 10 April lalu, kira-kira jam 11.55 malam.
Pemeriksaan mendapati sebanyak 249 liter diesel disimpan dalam sebuah tangki Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan berkenaan.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh tidak memiliki lesen sah untuk menjalankan urusan perdagangan barang kawalan berjadual seperti yang ditetapkan undang-undang.


.jpg?t=1795510109)



