Minah Satay menang MAPS, perkenal kit sate DIY untuk eksport

LocalBusiness & Finance
8 Aug 2026 • 5:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Minah Satay menang MAPS, perkenal kit sate DIY untuk eksport

SUBANG, 8 OGOS: Usahawan Platform Selangor (PLATS) berjaya menghasilkan kit sate DIY (buatan sendiri) bagi memudahkan produk menembusi pasaran antarabangsa.

Penguasaha Minah Satay, Norminah Shafrial berkata, idea menghasilkan kit itu tercetus selepas berdepan pelbagai kekangan mengeksport sate kerana sekatan terhadap produk berasaskan daging dan ayam ke beberapa negara.

Katanya, kit itu mengandungi rempah perapan, kuah kacang sedia dimakan menggunakan teknologi retort serta panduan penyediaan sate, sekali gus membolehkan pelanggan menyediakan hidangan berkenaan dengan mudah.

"Di Malaysia semua orang kenal sate, tetapi di luar negara ramai yang lebih mengenali konsep BBQ. Sebab itu kami menamakannya Satay BBQ Kit supaya lebih mudah diterima di pasaran antarabangsa.

"Dalam kit ini kami sediakan rempah perapan, kuah kacang retort dan cara penyediaannya. Pelanggan hanya perlu perap ayam dan memasaknya sendiri," katanya.

Beliau ditemui Media Selangor selepas Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) di sini, malam tadi. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Norminah Shafrial dinobatkan sebagai pemenang utama iaitu, Anugerah Utama Usahawan Mikro Negeri Selangor. Dia membawa pulang trofi serta hadiah keseluruhan bernilai RM20,000, iaitu RM5,000 wang tunai dan RM15,000 Dana Usahawan Madani Selangor.

Wanita berusia 42 tahun itu berkata, selain membantu memperkemaskan sistem operasi menerusi penggunaan sistem tempat jualan (POS), PLATS turut memberi bimbingan pemasaran digital termasuk menghasilkan kandungan media sosial lebih berkesan.

"Hasil tunjuk ajar jurulatih, kami belajar menghasilkan kandungan yang lebih menarik dan menyusun strategi promosi di TikTok. Alhamdulillah, jualan meningkat kira-kira 30 peratus dalam tempoh tujuh bulan.

"Bukan sahaja jualan di ibu pejabat meningkat, malah kami turut berkongsi strategi itu dengan ejen dan kiosk berlesen supaya mereka juga memperoleh manfaat daripada peningkatan jualan," katanya.

Norminah berkata, Minah Satay yang kini memasuki tahun kelima operasi memiliki sebuah kilang di Damansara, sebuah restoran serta lapan kiosk berlesen di beberapa lokasi.

Katanya, syarikat kini menghasilkan antara 3,000 hingga 5,000 cucuk sate setiap hari bergantung kepada permintaan, dengan jumlah tertinggi pernah mencecah 10,000 cucuk sehari.

Beliau berkata, permintaan terhadap perkhidmatan katering sate juga semakin memberangsangkan sehingga syarikat kini memberi lebih banyak peluang kepada ejen untuk mengendalikan tempahan.

"Saya tahu pasaran sate ini sangat besar. Sebelum ini kami uruskan sendiri kebanyakan tempahan, tetapi sekarang kami serahkan lebih banyak kepada ejen supaya mereka juga dapat meningkatkan pendapatan.

"Harapan saya selepas ini ialah menambah lebih ramai ejen kerana permintaan yang diterima kadangkala melebihi kemampuan kami untuk memenuhinya," katanya.

MAPS yang kali ketiga diadakan adalah hasil kerjasama strategik antara Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Dianjurkan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau YMBI, beberapa anugerah diberikan bagi meraikan usahawan mikro yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Sebanyak 23 pengiktirafan disampaikan merangkumi sembilan kategori anugerah termasuk inovasi, pendigitalan, pembangunan komuniti, kepimpinan wanita dan belia serta penggunaan teknologi dalam perniagaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved