
BERMULA sebagai perusahaan kecil yang beroperasi dari rumah lebih 25 tahun lalu, jenama rempah tradisional Cap O kini memasuki fasa baharu apabila syarikat pengeluarnya, Maker Recipe Sdn. Bhd. merancang pelaburan kira-kira RM1.7 juta bagi memperkukuhkan operasi sebelum menembusi pasaran antarabangsa.
Jenama Cap O diambil alih oleh Maker Recipe, selepas pemilik asal dikenali sebagai Che Olah menawarkan jenama bersama resipi turun-temurun kepada keluarga pengasas syarikat itu yang melihat potensi besar untuk mengembangkan perniagaan berkenaan.
Daripada sebuah perusahaan berskala kecil, Cap O kini berkembang menjadi antara pengeluar rempah tempatan yang mempunyai dua kilang di Jitra dan Bukit Kayu Hitam selain rangkaian pengedaran ke seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Maker Recipe, Aimi Syairah Md. Zin berkata, meskipun pelbagai jenama baharu muncul dalam industri makanan, syarikat memilih untuk kekal mempertahankan identiti resipi tradisional Melayu yang menjadi kekuatan Cap O sejak dahulu.
Menurutnya, strategi tersebut diperkukuhkan dengan penggunaan teknologi moden, pendigitalan operasi serta pelaburan berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan produk kekal relevan mengikut kehendak pasaran.
“Persaingan memang tidak dapat dielakkan dalam dunia perniagaan. Apa yang membezakan kami ialah identiti jenama.
“Cap O akan terus mengekalkan resipi tradisional Melayu kerana sentiasa ada pengguna yang mencari rasa asli dan warisan, bukan sekadar resipi moden atau fusion,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Maker Recipe di Kawasan Perindustrian Bandar Baru Darulaman, Jitra baru-baru ini.
Bagi memperkukuhkan kedudukan syarikat, Maker Recipe merangka pelan pembangunan selama tiga tahun yang memberi fokus kepada peningkatan kapasiti pengeluaran, pengukuhan pensijilan antarabangsa dan akhirnya menembusi pasaran luar negara.
Katanya, daripada pelaburan keseluruhan RM1.7 juta itu, sebanyak RM700,000 diperuntukkan bagi menaik taraf mesin pengeluaran, RM500,000 untuk penambahbaikan fasiliti kilang, manakala selebihnya melibatkan pembangunan makmal, pemasaran digital, penjenamaan dan persediaan eksport.
“Kami tidak mahu tergesa-gesa memasuki pasaran antarabangsa sekiranya kapasiti pengeluaran masih terhad kerana kami mahu memastikan apabila Cap O memasuki pasaran luar negara nanti, kami benar-benar bersedia daripada segi pengeluaran, pensijilan dan bekalan,” katanya.
Menurut beliau, kilang syarikat kini menghasilkan kira-kira 80 tan rempah sebulan, namun kapasiti tersebut telah mencapai had maksimum.
Sehubungan itu, ujar Aimi Syairah, syarikat akan menaik taraf mesin pengeluaran tahun ini bagi meningkatkan kapasiti selain memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
Dalam memastikan kualiti produk sentiasa konsisten, Maker Recipe turut membangunkan makmal penyelidikan sendiri dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Makmal itu membolehkan setiap formulasi diuji sebelum dipasarkan, sekali gus memastikan rasa produk kekal sama walaupun berlaku perubahan sumber bahan mentah akibat faktor keselamatan makanan dan gangguan rantaian bekalan global.
“Kami menggabungkan sains makanan dengan resipi tradisional supaya pengguna menikmati rasa yang sama setiap kali membeli produk Cap O,” katanya.
Selain aspek pengeluaran, syarikat turut mempercepatkan transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan operasi dengan menggunakan sistem pengurusan bersepadu yang menghubungkan operasi di Bukit Kayu Hitam, Jitra, Ipoh, Pagoh dan Rawang.
Katanya, teknologi seperti sistem inventori masa nyata, aplikasi dalaman, Google Analytics, kecerdasan buatan (AI) dan sistem penjadualan penghantaran berasaskan GPS dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan operasi serta mengoptimumkan kos logistik.
Dalam masa sama, syarikat turut menubuhkan jabatan pemasaran digital khusus bagi meningkatkan kesedaran pengguna terhadap jenama Cap O, terutama dalam kalangan generasi muda.
Menurut beliau, media sosial kini bukan sekadar platform jualan, malah menjadi medium untuk membina hubungan lebih rapat dengan pengguna serta memahami trend pasaran semasa.
“Kami mahu generasi muda mengenali semula keistimewaan masakan tradisional Melayu. Teknologi membantu kami mendekati pelanggan tanpa mengubah identiti jenama yang telah dibina sejak dahulu,” katanya.
Beliau berkata, produk Cap O kini berada di lebih 3,600 premis di seluruh negara termasuk pasar raya besar, pasar raya tempatan dan ribuan kedai runcit.
“Walaupun jualan dalam talian masih kecil berbanding saluran konvensional, syarikat melihat platform digital sebagai pelengkap kepada rangkaian pengedaran sedia ada,” katanya.
Menyentuh mengenai perancangan eksport, beliau berkata, Maker Recipe telah menerima minat daripada beberapa negara Asia Barat termasuk Arab Saudi, namun memilih untuk memberi keutamaan kepada pengukuhan kapasiti dalaman terlebih dahulu.
Katanya, syarikat turut menyasarkan pensijilan seperti Amalan Pengilangan Baik (GMP), Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) dan Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) sebelum memulakan eksport secara agresif.
“Strategi kami ialah menjadi ‘jaguh kampung’ dahulu. Di Kedah, pegangan pasaran Cap O melebihi 30 peratus berbanding kurang 10 peratus di peringkat nasional. Apabila jenama kukuh di negeri sendiri, lebih mudah untuk kami berkembang sehingga ke pasaran global,” katanya. – UTUSAN
The post Resipi warisan senjata Cap O tembusi pasaran antarabangsa appeared first on Utusan Malaysia.





