'Minat pelabur semakin berkurangan', PublicInvest hentikan liputan ke atas saham Homeritz

29/07/2025 - 17:05
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 29 Julai - Public Investment Bank (PublicInvest) menghentikan liputan ke atas Homeritz Corporation Berhad disebabkan oleh minat pelabur yang semakin berkurangan, ketiadaan pemangkin penarafan semula, serta penstrukturan semula portfolio liputan saham bagi pengagihan semula sumber dalaman.
Katanya, untung bersih kumpulan itu bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25) merosot sebanyak 38.9% tahun ke tahun kepada RM5.6 juta, terutamanya disebabkan oleh penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) dan penurunan dalam jumlah jualan.
Firma penyelidikan itu berkata, tidak termasuk item bukan teras, untung bersih teras kumpulan bagi 3QFY25 adalah RM6.1 juta, turun 29.4% berbanding tahun lalu.
Secara kumulatif, untung bersih teras bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 (9MFY25) berjumlah RM24.5 juta, selari dengan unjuran kami dan konsensus, masing-masing menyumbang 75% dan 71% daripada unjuran tahun penuh.
"Buat masa ini, kami kekal berhati-hati terhadap prospek keseluruhan industri perabot, memandangkan tekanan inflasi yang berterusan, kadar faedah yang tinggi dan ketidaktentuan dasar perdagangan (AS) dijangka terus menekan permintaan pengguna dalam jangka masa terdekat," katanya dalam satu nota kajian.
PublicInvest meramalkan prospek keseluruhan industri perabot kekal suram, memandangkan tekanan inflasi yang berterusan, pendirian berhati-hati Rizab Persekutuan AS terhadap pemotongan kadar faedah pada tahun 2025, serta ketidaktentuan ekonomi susulan pengenalan semula tarif di bawah pentadbiran Donald Trump.
Katanya, jualan rumah baharu di AS merosot sebanyak 13.7% bulan ke bulan pada Mei 2025, jatuh ke paras terendah sejak Oktober 2024, walaupun pemaju menawarkan insentif kepada pembeli berpotensi, dengan isu kemampuan membeli terus membelenggu industri.
"Walaupun kumpulan itu kekal proaktif dalam mendapatkan prospek pelanggan baharu dan secara konsisten membangunkan produk baharu, faktor positif ini dijangka akan diimbangi oleh kelemahan dolar AS memandangkan majoriti hasil Kumpulan didenominasikan dalam mata wang tersebut, di samping peningkatan sederhana dalam kos bahan mentah dan kos buruh dalam masa terdekat," katanya.
Syor akhir PublicInvest untuk Homeritz ialah "neutral," dengan harga sasaran 56 sen. - DagangNews.com
standard
