PublicInvest mulakan liputan ke atas HE Group dengan saranan "neutral", TP 37 sen sesaham

29/07/2025 - 12:50
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 29 Julai - Public Investvestment Bank (PublicInvest) memulakan liputan ke atas penyedia perkhidmatan kejuruteraan elektrik, HE Group Bhd dengan penarafan "neutral" dan harga sasaran (TP) sebanyak 37 sen.
Harga sasaran tersebut berdasarkan pendapatan sesaham untuk tahun kewangan 2026 (FY26) pada gandaan 12 kali, mencerminkan diskaun sebanyak 25% berbanding rakan-rakan industri dan Indeks Pembinaan Kuala Lumpur, memandangkan modal pasaran HE Group yang lebih kecil dan kekurangan kepelbagaian dalam sumber pendapatan.
Disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia sejak 30 Januari tahun lalu, syarikat itu kini sedang berusaha untuk memindahkan penyenaraian ke Pasaran Utama bagi meningkatkan profil korporatnya.
Syarikat itu memberi fokus kepada sistem pengagihan kuasa untuk premis pengguna akhir dan mempunyai pangkalan pelanggan yang kukuh, terutamanya dalam kalangan syarikat multinasional dalam sektor semikonduktor, peranti perubatan dan pembuatan elektronik.
Walaupun memiliki rekod prestasi yang kukuh, HE Group masih belum berjaya menembusi secara signifikan pasaran pusat data, satu bidang yang sedang giat disasarkannya.
Dengan memanfaatkan kepakarannya dalam pembangunan pencawang dan sistem kuasa industri, syarikat itu sedang merebut peluang dalam industri pusat data Malaysia yang semakin berkembang.
“Pertumbuhan industri pusat data di Malaysia dijangka mendorong permintaan terhadap cip semikonduktor canggih, mewujudkan hubungan antara dua sektor kritikal ini yang penting kepada HE Group.
“Sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) juga merupakan peluang yang sedang muncul, kerana dasar kerajaan yang menyokong mempercepatkan penggunaan RE terutamanya bagi mendorong minat terhadap sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
“HE Group mampu memanfaatkan kepakarannya dalam sistem pengagihan kuasa untuk industri tenaga boleh diperbaharui kerana pengetahuan asas yang kukuh dalam penyampaian tenaga sangat selaras dengan keperluan teknikal bagi projek BESS,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan gabungan keuntungan bersih selama tiga tahun sebanyak enam peratus bagi tempoh FY24 hingga FY27, dipacu oleh sumbangan stabil daripada segmen pemasangan peralatan elektrik dan kerja pengubahsuaian serta sistem pengagihan tenaga.
Kini, syarikat memegang buku pesanan tertunggak sebanyak RM68.7 juta dan mensasarkan pengisian semula sebanyak RM50 juta bagi FY25, dengan nilai buku tender sebanyak RM675 juta.- DagangNews.com
standard

