Keyakinan industri pertahanan global terhadap keupayaan Malaysia sebagai penganjur pameran bertaraf dunia terus diperkukuh apabila beberapa syarikat antarabangsa mengesahkan penyertaan awal dalam Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2027 (LIMA 2027) serta Defence Services Asia and National Security (DSA & NATSEC Asia 2028).
Komitmen itu dimeterai menerusi Majlis Penyerahan Kontrak Penyertaan yang berlangsung di Pavilion Malaysia sempena Farnborough International Airshow (FIA) 2026, disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF), Datuk Lokman Hakim bin Ali bersama Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM.

Antara syarikat yang mengesahkan penyertaan ialah Pilatus Aircraft Ltd., RUAG, Korea Aerospace Industries (KAI), Glenair, Team Defence Australia dan Kallman Worldwide, manakala NAICO Malaysia pula menyertai sebagai rakan kerjasama strategik.

Menurut MINDEF, penyertaan awal itu bukan sahaja mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap keupayaan Malaysia menganjurkan pameran pertahanan bertaraf antarabangsa, malah mengukuhkan lagi kedudukan LIMA dan DSA & NATSEC Asia sebagai platform penting yang menghimpunkan pemain industri pertahanan, aeroangkasa dan keselamatan dari seluruh dunia.
“Penyertaan awal yang diterima bagi LIMA 2027 dan DSA & NATSEC Asia 2028 mencerminkan tahap keyakinan yang semakin kukuh daripada industri pertahanan dan aeroangkasa global terhadap keupayaan Malaysia sebagai penganjur pameran pertahanan bertaraf antarabangsa.
“Perkembangan ini mengukuhkan lagi kedudukan LIMA 2027 dan DSA & NATSEC Asia 2028 sebagai antara platform pertahanan, aeroangkasa dan keselamatan yang terkemuka di peringkat antarabangsa, sekali gus memperluas peluang kerjasama strategik serta menyokong pembangunan industri pertahanan,” kata MINDEF dalam satu kenyataan.

MINDEF berkata, penyertaan Malaysia di FIA 2026 merupakan kesinambungan kepada pelancaran rasmi LIMA 2027 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan negara sebagai hab strategik pertahanan dan aeroangkasa serantau.
Melalui penyertaan itu, Malaysia turut mengadakan siri libat urus strategik bersama kerajaan, angkatan tentera serta pemain industri pertahanan dan aeroangkasa global bagi memperluaskan jaringan kerjasama menjelang penganjuran kedua-dua pameran berkenaan.
“Momentum yang dijana menerusi pelancaran LIMA 2027 di Kuala Lumpur dan diperkukuhkan melalui penyertaan Malaysia di FIA 2026 dijangka meningkatkan penyertaan antarabangsa serta memperkukuh pengiktirafan LIMA 2027 dan DSA & NATSEC Asia 2028 sebagai antara platform pertahanan, aeroangkasa dan keselamatan yang terkemuka di rantau Asia Pasifik.
“Perkembangan ini bukan sahaja meningkatkan keterlihatan kedua-dua pameran di peringkat global, malah membuka lebih banyak peluang pelaburan strategik, kerjasama industri serta pemindahan teknologi yang menyokong pembangunan ekosistem industri pertahanan negara,” ujar MINDEF.

Untuk makluman, LIMA 2027 dijadual berlangsung di Langkawi dari 17 hingga 20 April 2027 menerusi penganjuran bersama Global Exhibition & Conference Sdn. Bhd. (GEC).
Manakala DSA & NATSEC Asia 2028 akan diadakan di Kuala Lumpur dari 17 hingga 20 April 2028 dengan Syarikat DSA Exhibition & Conference Sdn. Bhd. sebagai penganjur bersama.
Sementara itu, MINDEF berkata, selain menjadi platform menghimpunkan pemain industri pertahanan dan aeroangkasa antarabangsa, kedua-dua pameran itu akan terus memainkan peranan sebagai instrumen diplomasi pertahanan negara dalam memperkukuh hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan rakan strategik Malaysia.
“Melalui platform ini, Malaysia memperluas dialog strategik, memudah cara pembangunan keupayaan, menggalakkan kolaborasi industri serta memperkukuh kepercayaan dan persefahaman dalam kalangan rakan pertahanan.
“Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Teras 6 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) untuk memperkukuh hubungan antarabangsa dan memperkasakan ekosistem industri pertahanan negara,” kata MINDEF lagi.
Justeru, komitmen awal yang diterima di FIA 2026 sekali gus menjadi petunjuk bahawa LIMA 2027 dan DSA & NATSEC Asia 2028 bukan sekadar pameran pertahanan, tetapi platform strategik yang terus mengangkat peranan Malaysia dalam landskap pertahanan dan aeroangkasa di peringkat antarabangsa.
The post MINDEF Martabatkan Malaysia Melalui Penyertaan Awal Pemain Industri Pertahanan Dunia Dalam LIMA 2027, DSA & NATSEC Asia 2028 appeared first on Borak Daily.





