MINDEF perlu beli 18 lagi pesawat FA-50M ganti cadangan dapatkan Hornet terpakai Kuwait

08/09/2025 - 08:41
Pembelian tambahan pesawat FA-50M dapat mengimbangi keperluan aset TUDM. Analisis Berita Oleh Zaki Salleh
Pertimbangan segera wajar dibuat Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi menggantikan cadangan mendapatkan pesawat tempur F/A-18 Hornet terpakai Kuwait.
Perolehan tersebut dilihat sukar berikutan pihak Kuwait masih belum menerima pesawat tempur baharu sebelum khidmat Hornet ditamatkan.
Pada masa sama, keputusan mendapatkan pesawat terpakai berusia 30 tahun ini dilihat boleh mengundang risiko tentang keupayaan aset apabila dioperasikan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim baru-baru ini menyuarakan ingatan tegas kepada MINDEF supaya tidak mengulangi kesilapan lalu dalam perolehan aset ketenteraan, khususnya membabitkan pembelian pesawat terpakai.
Baginda membangkitkan mengenai perjanjian pembelian pesawat pejuang A-4 Skyhawk pada 1982 untuk dijadikan iktibar supaya insiden 'keranda terbang' tidak berulang.
Ini berikutan pesawat era Perang Vietnam itu terbabit dalam beberapa nahas udara yang mengorbankan juruterbang TUDM sehingga ditamatkan perkhidmatan pada 1995.
Teknologi lapuk pada pesawat tersebut juga menjadikan TUDM ketinggalan berbanding negara serantau.
Sepertimana ditegaskan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataannya, langkah segera perlu diambil bagi memastikan kesiapsiagaan pertahanan udara dan kedaulatan negara tidak terjejas.
Sehubungan itu, MINDEF sedang meneliti alternatif baharu bagi memastikan keperluan TUDM mempunyai jumlah pesawat tempur yang seimbang dengan keperluan operasi.

Salah satu langkah yang perlu dipertimbangkan kerajaan adalah meneruskan Fasa Kedua pembelian tambahan 18 buah pesawat tempur ringan (LCA/FLIT) FA-50M dari Korea Selatan.
Ini dapat melengkapkan jumlah keseluruhan kepada 36 buah pesawat, susulan Fasa Pertama yang menyaksikan tempahan awal 18 unit diumumkan 2 tahun lalu.
MINDEF dan Korea Aerospace Industries (KAI) menandatangani kontrak pembelian 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M dianggarkan bernilai RM4 billion pada LIMA 2023.


TUDM dijangka akan menerima kumpulan pertama pesawat pejuang tersebut pada akhir tahun 2026.
Cadangan pembelian tambahan ini adalah langkah strategik jangka pendek untuk mengisi kekosongan keupayaan tempur TUDM yang ditinggalkan berikutan kelewatan perolehan pesawat Hornet terpakai.
Walaupun kos pembelian ini dijangka meningkat berikutan kadar tukaran matawang dan kesan ekonomi semasa, namun ia tetap keputusan yang menguntungkan.
Dengan jumlah pesawat yang besar, ini membolehkan industri hiliran berkaitan pesawat FA-50M dibangunkan di Malaysia sepertimana dirancang oleh pihak KAI.
Varian FA-50M yang diperoleh Malaysia merupakan yang paling moden, dilengkapi radar AESA, keupayaan peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR) dan sistem peperangan elektronik.


Progres pembinaan pesawat FA-50M TUDM dilaporkan lancar dan berada pada landasan yang kukuh, dengan tahap pembinaan sudah melebihi 50% pada awal 2025 iaitu lebih cepat dari jadual asal.
Bagaimana pun, difahamkan belum ada rundingan secara rasmi di antara MINDEF dan KAI berkenaan perolehan Fasa Kedua 18 buah lagi pesawat FA-50M.
Sepertimana diketahui, pembelian FA-50M adalah menggantikan pesawat Hawk yang telah diguna sejak 30 tahun lalu.
Pemilikan 36 buah FA-50M bukan sahaja dapat memenuhi keperluan operasi semasa, tetapi juga menyediakan lebihan 8 buah pesawat berbanding 28 unit pesawat Hawk 108/208 semasa dibeli pada tahun 1994.
Ini memberi kelebihan ketara dari sudut bilangan dan keupayaan teknologi.


Dengan jumlah tersebut, pesawat-pesawat FA-50M mencukupi untuk ditempatkan di Semenanjung dan Malaysia Timur.
Perlu diingat, setelah khidmat pesawat MiG-29N ditamatkan pada 2017, TUDM kekurangan 16 buah aset.
Pesawat FA-50M merupakan platform pelbagai guna yang mampu menjalankan misi serangan ringan, rondaan udara dan latihan lanjutan.
Dengan integrasi sistem senjata moden dan kos operasi yang lebih rendah berbanding pesawat tempur sebenar, FA-50M dilihat sebagai penyelesaian terbaik dalam mengisi jurang keupayaan sehingga pesawat Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) generasi baharu dapat diperolehi.
Program perolehan MRCA dijangka hanya akan dilaksanakan MINDEF dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-13 atau ke-14 (RMK13/RMK14), iaitu sekitar tahun 2035 hingga 2040.


Dalam tempoh tersebut, TUDM memerlukan aset yang boleh dioperasikan secara aktif dan berterusan untuk memastikan kesiapsiagaan udara tidak terjejas.
Kerajaan wajar melihat FA-50M bukan sekadar pengganti pesawat lama, tetapi sebagai pelaburan jangka sederhana yang kukuh, terutama dalam persekitaran geopolitik yang semakin mencabar.
Langkah meneruskan pembelian FA-50M juga dilihat lebih praktikal dan menjimatkan.
Ini berbanding risiko teknikal dan logistik yang mungkin timbul jika Malaysia terus bergantung kepada perolehan aset terpakai yang tertangguh atau berisiko tinggi daripada segi penyelenggaraan.
Keputusan untuk mempertimbangkan alternatif kepada Hornet terpakai dari Kuwait mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan TUDM bersedia menghadapi sebarang ancaman.
Perolehan tambahan FA-50M boleh menjadi langkah sementara yang berkesan, sambil menunggu ketibaan platform pesawat MRCA dalam dekad akan datang. - DagangNews.com
standard
