
ALOR GAJAH – Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus memperkasa kebajikan dan kesejahteraan warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program Peduli Veteran MADANI (PVM) di sekitar Sungai Udang di sini.
Program anjuran MINDEF melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) itu menjadi platform menyantuni veteran secara bersemuka, selain mengenal pasti keperluan sebenar bagi menambah baik skim serta inisiatif berkaitan kebajikan veteran ATM.
Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari berkata, pendekatan turun padang itu membolehkan pihaknya melihat sendiri keadaan veteran serta keluarga mereka, khususnya membabitkan keperluan kesihatan dan kebajikan.
“Tujuan kita jumpa veteran ini di rumah mereka adalah untuk melihat sendiri keperluan-keperluan veteran. Jadi dalam setiap program kita, kita akan berjumpa dengan keluarga veteran dan untuk siri ini kita akan berjumpa dengan 16 keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke kediaman Koperal Badrun Sauman (Bersara) salah seorang veteran ATM di Sungai Udang, di sini semalam
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Sophian Isswandy Ismail; Pengarah JHEV ATM Cawangan Melaka dan Negeri Sembilan, Mejar Muhammad Zarifi Tumin; wakil JKM Melaka serta wakil persatuan veteran ATM Melaka.
Terdahulu, keluarga veteran Badrun berdepan cabaran apabila dua daripada empat anaknya berusia 26 dan 23 tahun menghidap penyakit Ataxia Friedreich iaitu penyakit genetik jarang berlaku yang menyebabkan kerosakan progresif pada sistem saraf, khususnya saraf tunjang serta bahagian otak yang mengawal koordinasi pergerakan.
Selain itu, seorang lagi anaknya berusia 20 tahun mengalami Gangguan Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD), manakala pesara itu sendiri berdepan masalah berkaitan jantung yang memerlukan perhatian dari aspek kesihatan.
Jelasnya, bantuan bersasar disampaikan mengikut keperluan penerima termasuk bantuan baik pulih rumah, peralatan perubatan, sara hidup, keperluan asas serta bantuan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi bagi anak veteran ATM.
Selain itu, seramai lima veteran ATM dan balu menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai penghargaan terhadap sumbangan serta pengorbanan mereka mempertahankan keamanan negara.
Mengulas lanjut Adly berkata, MINDEF akan terus memberi keutamaan terhadap agenda memperkasa ekosistem veteran ATM selaras dengan aspirasi Teras 7 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 yang menekankan kesejahteraan anggota, veteran ATM serta keluarga.
“Usaha ini diterjemahkan menerusi peningkatan peruntukan kepada JHEV ATM, dengan RM303.3 juta diperuntukkan bagi tahun ini berbanding RM118 juta pada 2023, RM244 juta pada 2024 dan RM293 juta pada 2025.
“Hampir 90 peratus daripada peruntukan digunakan untuk kebajikan anggota veteran, jadi kita salurkan terus kepada anggota veteran, sama ada melalui bantuan sara hidup ataupun bantuan-bantuan skim yang lain seperti kesihatan, pendidikan anak-anak dan tambah baik ekonomi mereka,” katanya.
The post MINDEF santuni veteran ATM, perkasa kebajikan, kesihatan appeared first on Kosmo Digital.





