
KETOKOHAN anak kelahiran daerah Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan sebagai pemimpin yang rajin turun padang menyantuni rakyat khususnya di daerah Tawau menjadikan beliau antara figura politik yang dihormati bukan sahaja oleh penyokong, malah dalam kalangan rakan dan lawan politik.

NIZAM Abu Bakar hadir merasmikan Program Likefest Fun Run 2026 (5KM) di Kompleks Sukan Tawau yang berlangsung meriah dengan penyertaan golongan belia dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat. UTUSAN / NASRAWATI SYARIFUDDINSosok pemimpin berusia 60 tahun itu mewarisi darah kepimpinan daripada bapanya, Datuk Seri Abu Bakar Titingan, seorang tokoh Melayu yang disegani di Sabah.
Beliau juga adik kepada bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan yang pernah mencurahkan khidmat dalam pembangunan golongan muda dan sukan di negeri ini.
Kini, Nizam meneruskan legasi kepimpinan keluarga itu dengan menggalas amanah sebagai Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah.
Dalam kapasiti berkenaan, beliau memberi tumpuan kepada usaha membangunkan potensi golongan belia melalui program kesukarelawanan, latihan kemahiran, pembangunan sukan dan pengukuhan jati diri.

NIZAM Abu Bakar Titingan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pesakit yang sedang menerima rawatan dialisis di Hospital Tawau, Sabah. UTUSAN / NASRAWATI SYARIFUDDIN
Antara inisiatif terbaharu yang diperkenalkan adalah penubuhan Sukarelaan Muda Sabah Maju Jaya (SMJ), sebuah platform baharu golongan muda dan menjadi penghubung antara kerajaan serta masyarakat dari akar umbi.
Nizam berkata, gerakan itu diwujudkan bagi menyokong agenda pemerkasaan modal insan yang menjadi antara teras Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya.
Katanya, Sukarelawan Muda SMJ bukan ditubuhkan bagi menggantikan peranan Majlis Belia Sabah atau pertubuhan belia sedia ada, sebaliknya menjadi pelengkap dalam memperluas penyertaan golongan muda terhadap agenda pembangunan negeri.
“Sudah sampai masanya kita mewujudkan satu gerakan sukarelawan muda yang mampu menjadi mata dan telinga kerajaan dalam memperkukuh pelaksanaan dasar serta menyampaikan maklumat berkaitan pelbagai inisiatif kepada masyarakat.
“Kita juga mahu melahirkan lebih ramai belia yang mempunyai semangat kesukarelawanan, berintegriti, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Nizam berkata, Sukarelaan Muda SMJ akan membantu menyampaikan maklumat berhubung program pembangunan modal insan, latihan kemahiran, bantuan dan peluang yang disediakan kerajaan negeri kepada golongan muda.
Katanya, masih ramai belia yang tidak mengetahui pelbagai inisiatif kerajaan termasuk pembinaan 10 unit Rumah Belia SMJ bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Sabah.
“Maklumat seperti ini perlu disampaikan kepada golongan sasar supaya mereka mengetahui peluang yang disediakan serta kaedah untuk membuat permohonan.
“Kita juga akan menyediakan pelbagai program latihan kepada sukarelawan bagi meningkatkan kemahiran, kepimpinan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia,” katanya.

Jelasnya, penglibatan aktif dalam sukan mampu mengisi masa lapang belia dengan aktiviti berfaedah selain menjadi benteng daripada pengaruh negatif media sosial, penyalahgunaan dadah, jenayah juvana dan pelbagai masalah sosial lain.
“Anak muda hari ini berdepan pelbagai cabaran. Sebab itu, sukan perlu dijadikan medium penting untuk membimbing mereka ke arah gaya hidup sihat, membina keyakinan diri dan memupuk semangat kerja berpasukan,” katanya.
Dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas pula, Nizam dikenali dengan pendekatan turun padang bagi mendengar sendiri permasalahan dan keperluan rakyat di kawasan berkenaan.
Beliau juga sering menghadiri program di peringkat kampung, sekolah dan komuniti tanpa mengira latar belakang, fahaman politik atau kawasan tempat mengundi.
Setiap kunjungan bukan sahaja menjadi ruang mendekati penduduk, malah dimanfaatkan bagi menyampaikan berita berhubung inisiatif kerajaan dan menyalurkan bantuan menerusi peruntukan kawasan atau kerajaan negeri.
Pendekatan itu membuktikan kesinambungan antara peranannya sebagai menteri yang merangka dasar pembangunan belia dengan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat yang memastikan manfaat dasar berkenaan sampai kepada masyarakat.
Dalam pada itu, Nizam turut memainkan peranan menyatupadukan pelbagai persatuan etnik dan suku kaum di Tawau melalui program kemasyarakatan dan sambutan kebudayaan.
Tambahnya, Tawau yang kaya dengan kepelbagaian budaya, kaum dan suku etnik boleh dijadikan model perpaduan kepada kawasan lain di negara ini.
Katanya, masyarakat di daerah itu seharusnya bersyukur kerana kepelbagaian kaum tidak pernah menghalang mereka untuk hidup dalam suasana harmoni dan meraikan perayaan bersama-sama.
“Kepelbagaian ini adalah kekuatan kita. Walaupun berbeza kaum, suku dan budaya, ia tidak menghalang masyarakat daripada saling menghormati dan meraikan perayaan bersama.
“Semangat perpaduan seperti ini perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda supaya mereka dapat memainkan peranan dalam memastikan keharmonian masyarakat terus berkekalan,” katanya. –UTUSAN
The post Nizam dekati belia, santuni masyarakat Tawau tanpa kira fahaman politik appeared first on Utusan Malaysia.



