MINDEF siasat anggota ATM terlibat budaya ‘Yeye’ secara ketat

LocalPolitics
18 Jan 2026 • 11:45 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Kementerian Pertahanan jalankan siasatan menyeluruh ke atas anggota ATM dikaitkan budaya hedonisme ‘Yeye’ mengikut prosedur dalaman ketat tanpa kompromi.

ALOR GAJAH: Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengikut prosedur dalaman yang ketat tanpa kompromi melibatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikaitkan dengan budaya “Yeye” atau hedonisme.

Timbalan Menterinya Adly Zahari berkata siasatan itu dilaksanakan oleh jawatankuasa ditubuhkan di bawah semua domain pertahanan tentera darat, laut dan udara yang mempunyai peraturan serta disiplin ketat dan jelas.

“Di MINDEF, kita tidak benarkan sebarang perlakuan yang bercanggah dengan budaya ketenteraan dalam mana-mana domain pertahanan kita, sama ada kes itu terpencil atau tidak,” katanya.

Beliau berkata jika berlaku pelanggaran disiplin, tindakan akan diambil pada peringkat dalaman termasuk membawa kes berkenaan ke mahkamah tentera.

Adly berkata menerusi siasatan itu, anggota atau pegawai yang dikaitkan dijamin hak untuk mempertahankan atau membuktikan diri mereka tidak bersalah sebelum sebarang hukuman dijatuhkan.

Beliau meminta rakyat tidak mempertikaikan pengorbanan anggota dan pegawai ATM disebabkan isu berkenaan.

Tanggungjawab mereka menjaga keamanan dan keselamatan negara telah terbukti, katanya.

Semalam media melaporkan Panglima Tentera Darat Jen Datuk Azhan Md Othman mengesahkan 15 pegawainya dikenal pasti terlibat dalam aktiviti tidak bermoral yang dikaitkan dengan budaya “Yeye”.

Sebelum ini, 21 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut dikenal pasti terbabit dengan aktiviti tidak bermoral itu.

Siasatan kes TUDM telah dilengkapkan sebelum ke proses perundangan dalam masa terdekat.