
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Setiap individu yang membina rumah tangga dan mempunyai cahaya mata pasti mahu anak mereka hidup dalam sebuah keluarga yang lengkap bersama ibu bapa.
Walau bagaimanapun umum mengetahui rezeki, jodoh dan ajal merupakan perkara yang ditentukan oleh Allah SWT dan sebagai hambaNya kita hanya mampu berdoa agar diberikan kesempatan untuk merasainya.
Buat mereka yang menempuh ujian seperti kehilangan insan yang disayangi pastinya adakalanya timbul rasa rindu terhadap individu tersebut dan berharap dapat mencipta kenangan bersama meskipun ia mustahil.
Lelaki minta orang ramai tolong edit gambar bersama arwah isteri untuk foto keluarga
Baru-baru ini, seorang lelaki menjadi perhatian di Facebook apabila meminta mana-mana individu untuk menyunting gambar keluarganya bersama arwah isteri tercinta.
Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh Alif Tsi dalam laman Edit Apa Hari Ini, dia meminta jasa baik pakar IT atau yang mahir untuk menyunting gambar untuk memasukkan arwah isteri ke dalam gambar dia dan anak.
“Minta jasa baik pakar IT dan pakar ekonomi (atau sebarang pakar yang mahir) untuk edit gambar bagi jadi satu (dalam satu gambar yang sama). Isteri dah meninggal waktu anak umur setahun… nak buat kenangan untuk tunjuk dekat anak. Jasa baik anda amat dihargai,” katanya.

Di ruangan komen ramai yang membantu Alif untuk menyunting gambar dia bersama anak dan isteri.

Isteri hidap kanser limpa tahap 4
Alif ketika dihubungi berkata, isterinya meninggal dunia tiga tahun yang lalu kerana menghidap kanser limpa tahap empat.
Jelasnya, isterinya itu meninggal pada usia 21 tahun ketika anak lelaki mereka, Amsyar berusia satu tahun.
Katanya arwah isteri menghidap kanser sejak usia 14 tahun dan pernah menjalankan rawatan serta pulih darinya.
“Kanser dari umur 14 tahun, pernah buat kimo (kimoterapi) dan dah baik. Kami kahwin ketika arwah umur 19 tahun. Waktu hamil, doktor sahkan kanser kembali aktif dan saran gugurkan kandungan,” katanya kepada BuzzKini.
Tahu kanser isteri tahap 4 selepas arwah meninggal dunia
Menurutnya lagi, dia hanya mengetahui kanser dihidapi isterinya pada tahap empat selepas arwah meninggal dunia.
“Arwah rahsiakan dari saya. Mungkin tak nak susahkan hati saya. Waktu buat laporan polis untuk kematian, baru tahu dari buku laporan hospital.”
Jelasnya dia kini membesarkan Amsyar bersama ibunya dan memaklumkan kanak-kanak lelaki itu merupakan cucu lelaki tunggal.
Alif mengatakan Amsyar bakal menginjak ke usia empat tahun pada bulan Disember ini dan sudah memulakan persekolahan di tadika sejak berusia tiga tahun.
Anak sering tanya tentang ibu
Ujar Alif lagi, anak lelakinya itu sering bertanya mengenai ibunya malah dia juga ada membawa Amsyar ke kubur setiap minggu.
“Seminggu sekali akan bawa (Amsyar) ke kubur… Pernah tersalah peluk wanita di pusat membeli-belah.. dari belakang nampak serupa macam arwah.
“Saya juga tunjuk gambar yang dia orang (warga net) edit tu. Anak tanya ‘kenapa Amsyar tak nampak pun mama waktu kita pergi hotel tu? Macam mana mama ada dalam gambar?’
“Saya pula tak tahu nak jelaskan macam mana,” katanya.
Buka pintu anak sedang menyusu pada arwah isteri yang dah meninggal dunia
Di ruangan komen, Alif turut memaklumkan ketika isteri meninggal dunia, Amsyar ada bersama arwah di rumah kerana dia keluar bekerja.
“Enam jam anak umur setahun duduk dengan arwah yang dah meninggal. Anak tak menangis langsung jiran-jiran cakap. Saya buka pintu anak sedang menyusu badan arwah yang dah meninggal,” jelasnya lagi.

Melihat di ruangan komen, ramai yang membantu menyunting gambar mereka sekeluarga dan Alif mengucapkan terima kasih serta begitu menghargainya.
“Kita pula rasa sedih”

“Sebak pula aku tengok mereka sunting (gambar) dengan isteri dia”


